Kualiti rendah punca filem tempatan sukar dapat sambutan, kata penerbit

Kualiti rendah punca filem tempatan sukar dapat sambutan, kata penerbit

Filem berkualiti tinggi seperti Mat Kilau dan Polis Evo 3 mendapat sambutan baik walaupun berdepan saingan hebat filem asing, kata Pansha.

Kaki wayang di negara ini kehausan filem tempatan berkualiti, menurut seorang penerbit filem. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kualiti yang rendah menjadi punca filem tempatan hanya ditayang untuk tempoh singkat di pawagam, kata seorang penerbit filem.

Industri filem tempatan menerima akibat apabila kandungan yang tidak mencapai standard dihasilkan, walaupun menerima geran yang besar daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), kata Panchacharam P Nalliah.

Panchacharam, yang lebih mesra dikenali sebagai Pansha, berkata kemelut dihadapi industri filem tempatan bukan semata-mata disebabkan jumlah filem asing yang begitu banyak ditayangkan.

Katanya, filem tempatan berkualiti tinggi kebelakangan ini, termasuk Mat Kilau dan Polis Evo 3, mendapat sambutan baik di “box office” walaupun berdepan saingan hebat filem asing.

Dua filem yang disiarkan tahun lepas itu masing-masing meraih jualan tiket RM100 juta dan RM54 juta.

“Sebagai penerbit, anda perlu melakukan kajian untuk melihat apa penonton mahu seterusnya memberi mereka filem berkualiti,” kata Pansha kepada FMT.

“Hari ini kita didedahkan dengan televisyen, video, dan perkhidmatan penstriman internet yang membolehkan kita menonton pelbagai filem dari seluruh dunia. Penonton kita kehausan filem tempatan berkualiti.”

Pansha menuduh segelintir pembikin filem menokok tambah belanjawan ketika memohon bantuan pembiayaan kemudian mengalihkan sebahagian dana diterima untuk kegunaan peribadi.

Kenyataan Pansha dibuat susulan gesaan Ahli Parlimen Bukit Bendera Syerleena Abdul Rashid minggu lepas supaya Malaysia mencontohi pendekatan Korea Selatan yang mengehadkan jumlah filem asing ditayangkan di pawagam bagi menggiatkan industri perfileman tempatan.

Syerleena menggesa Finas memastikan pengusaha pawagam mematuhi syarat skim wajib tayang ditetapkan, yang memperuntukkan dua minggu tayangan bagi filem tempatan.

Beliau berkata, dua filem tempatan, “Walid” dan “Pagari Bulan”, tidak ditayangkan dengan meluas hanya selepas seminggu, mendakwa pengusaha pawagam melanggar syarat skim tersebut.

Bagaimanapun, bekas ahli lembaga Finas Adam Ham berkata, skim itu membenarkan pengusaha pawagam memendekkan tempoh tayangan filem tempatan jika penontonnya jatuh bawah 30% dalam empat hari pertama tayangan.

Beliau mencadangkan Finas mempertimbangkan meningkatkan jumlah slot “wajib tayang” bagi filem tempatan ketika musim puncak.

Katanya, ketika cuti sekolah, pembikin filem bagi pasaran keluarga dan kanak-kanak sering berebut-rebut untuk mendapatkan slot “wajib Tayang’. Penambahan slot seperti itu pada musim puncak akan membantu memacu industri filem tempatan, tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.