Kemudahan dah cukup, tiada alasan mutu pendidikan masih sama, kata Anwar

Kemudahan dah cukup, tiada alasan mutu pendidikan masih sama, kata Anwar

Perdana menteri berkata tumpuan kerajaan pada tahun depan adalah meningkatkan mutu pendidikan negara.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan tidak boleh terima mutu pendidikan masih di tahap lama selepas semua kemudahan asas di sekolah sudah lengkap. (Gambar Bernama)
BANGI:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata bermula tahun depan, tiada alasan mutu pendidikan pelajar di sekolah-sekolah di seluruh negara tidak dapat ditingkatkan selepas semua kemudahan asas sudah dilengkapkan.

“Guru besar, pengetua dan guru-guru saya nak tekankan ini, mulai Januari 2024, penekanan kita selain menyelesaikan hal-hal asas mengenai prasarana…tumpuan kita ialah meningkat dan mengangkat mutu pendidikan.

“Itu cabaran. Sebab sekolah sudah elok, tandas sudah siap dan kemudahan asas sudah cukup. Tunggu apa lagi,” katanya semasa berucap dalam Majlis Penyerahan dan Perasmian Projek Rintis Bangunan Daif di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Bangi.

Dalam Belanjawan 2024, sektor pendidikan kekal sebagai komponen utama yang menerima peruntukan tertinggi dengan Kementerian Pendidikan mendapat RM58.7 bilion berbanding RM55.2 bilion pada 2023.

Pada 13 Okt lalu, Anwar berkata, sejumlah RM1.9 bilion disediakan untuk menaik taraf dan menyelenggara sekolah-sekolah di seluruh negara.

Peruntukan itu merangkumi RM930 juta bagi kerja-kerja naik taraf bangunan dan prasarana daif di 450 buah sekolah merangkumi 185 projek di Sarawak dan 155 di Sabah.

Dalam pada itu, Anwar berkata beliau tidak boleh menerima sekiranya prestasi pelajar-pelajar sekolah masih di tahap yang sama seperti tahun-tahun sebelumnya selepas bantuan kemudahan asas diberikan kerajaan.

“Minta kemudahan dan minta bantuan, kita bantu. Tetapi prestasi masih sama macam dulu, kita tak boleh terima,” katanya.

Perdana menteri berkata beliau mahu prestasi pelajar pada tahun ini dan tahun-tahun akan datang mencatatkan prestasi lebih baik jika negara mahu bersaing dengan negara-negara lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.