3 lelaki disyaki larikan barang kemas RM1.4 juta dicekup

3 lelaki disyaki larikan barang kemas RM1.4 juta dicekup

Tiga lelaki ditahan tiga jam selepas kejadian rompakan bersenjata di pekan Kuala Kangsar semalam.

Tiga lelaki tempatan berusia 20 hingga 50 tahun direman seminggu bermula hari ini bagi membantu siasatan rompakan barang kemas, di Kuala Kangsar, semalam.
PETALING JAYA:
Tiga lelaki disyaki terlibat rompakan bersenjata melarikan barang kemas RM1.4 juta di pekan Kuala Kangsar, semalam dicekup di Shah Alam, tiga jam selepas kejadian dilapor.

Lelaki tempatan berusia 20 hingga 50 tahun itu ditangkap pada 2.10 petang juga direman seminggu bermula hari ini.

Ketua Polis Kuala Kangsar Omar Bakhtiar Yaacob, berkata ketika tangkapan dibuat, pihaknya tidak menemukan sejumlah barang kemas dilarikan suspek.

“Buat masa ini, barang kemas itu masih belum dijumpai. Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan barang kemas bernilai RM1.4 juta yang dilarikan,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Beliau berkata, permohonan reman terhadap semua suspek diluluskan Mahkamah Majistret Kuala Kangsar.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan bersenjata,” katanya.

Tular di media sosial X, satu rakaman video berdurasi 21 saat yang memaparkan sekumpulan lelaki berpakaian serba hitam dan sarung muka melarikan beberapa beg mengandungi barang kemas dari kereta mangsa.

Video yang dirakam oleh orang awam itu menunjukkan suspek melarikan diri menggunakan dua kenderaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.