Padu pastikan hanya warganegara terima subsidi bersasar, kata Rafizi

Padu pastikan hanya warganegara terima subsidi bersasar, kata Rafizi

Menteri ekonomi berkata kerajaan hanya mengambil maklumat rakyat Malaysia untuk dimasukkan dalam pangkalan data itu.

Rafizi Ramli berkata kerajaan memperuntukkan masa tiga bulan untuk mengesahkan maklumat rakyat Malaysia dalam Padu. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Subsidi bersasar dirancang kerajaan hanya untuk warganegara Malaysia, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli di Dewan Rakyat.

Beliau berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan tiga jenis subsidi bersasar – untuk individu, isi rumah, dan berasaskan kad – dengan semuanya tidak ditawarkan kepada warga asing.

“Jadi secara automatiknya, melalui kaedah penyasaran semula subsidi ini, hanya warganegara sahaja yang akan mendapat subsidi,” katanya.

Rafizi berkata, kerajaan hanya mengambil maklumat daripada warganegara untuk Pangkalan Data Utama (Padu), yang akan dapat diakses orang ramai mulai Januari.

Katanya, bantuan tunai bulanan secara bersasar lebih bagus daripada subsidi pukal.

Beliau menjawab soalan Awang Hashim (PN-Pendang) yang bertanya sama ada kerajaan dapat memastikan subsidi hanya akan ditawarkan kepada rakyat Malaysia.

Ahli Parlimen PAS itu juga bertanya kepada Rafizi bagaimana kerajaan akan memastikan warganegara di luar bandar dan komuniti Orang Asli tidak tersisih.

Rafizi berkata, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berdepan cabaran di Sabah dan Sarawak, kerana data tidak lengkap atau langsung tiada data bagi segelintir warganegara.

“Jadi sebab itu kita akan peruntukkan tiga bulan untuk memastikan peringkat pengesahan dan verifikasi data,” katanya.

“Kita akan gerakkan seluruh jabatan kerajaan dan swasta untuk memastikan penduduk luar bandar terutamanya berdaftar, dan mengesahkan maklumat mereka dalam (sistem) Padu.

Katanya, kerajaan akan mengumumkan butiran pelannya lewat bulan ini atau bulan depan, tetapi subsidi tidak akan mula diagihkan serta-merta.

Menurutnya, hal ini kerana Padu hanya akan dilancarkan pada Januari dan orang ramai diberi masa tiga bulan mengemas kini dan mengesahkan data mereka.

“Segala perancangan setakat ini adalah untuk memastikan menjelang Mac 2024, keseluruhan keputusan, sistem, kaedah telah pun berada di tempat yang sewajarnya.”

Dalam respons lain kepada Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka), Rafizi berkata, kerajaan enggan membuat pengumuman terlalu awal kerana mahu mengelak spekulasi, khususnya mengenai inflasi.

Katanya, Padu akan memastikan ketelusan dalam menyalurkan subsidi bersasar kepada warganegara yang layak, memandangkan setiap rakyat Malaysia akan mempunyai akaun dalam pangkalan data tersebut.

“Mereka boleh semak sendiri kelayakan, bantuan yang mereka dapat, selain bantuan lain yang boleh dimohon,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan mungkin menerbitkan laporan daripada Padu untuk dibentangkan di Dewan Rakyat, selain untuk membantu ketelusan.

Rafizi memperjuangkan peralihan daripada subsidi pukal kepada subsidi bersasar berikutan lonjakan perbelanjaan tahunan kerajaan sebanyak 322% kepada RM55.4 bilion dari 2021 hingga 2022. Pada masa ini, kerajaan memberi subsidi bagi komoditi seperti bahan api, minyak masak dan beras keluaran tempatan.

Dalam wawancara bersama Bloomberg baru-baru ini, Rafizi menganggarkan negara boleh menjimatkan sekurang-kurangnya USD1 bilion (RM4.73 bilion) hingga USD2 bilion (RM9.47 bilion) apabila beralih kepada subsidi bersasar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.