Mara teliti keperluan naikkan kadar biasiswa

Mara teliti keperluan naikkan kadar biasiswa

Pengerusi Mara berkata semua aspek termasuk kemampuan kewangan negara perlu dinilai secara terperinci sebelum membuat keputusan berkaitan kadar baharu biasiswa.

Asyraf Wajdi Dusuki merasmikan Program Pembangunan Usahawan Automotif Mara Petronas di Nasr Utara Automotif Sdn Bhd, Kangar hari ini. (Gambar Bernama)
KANGAR:
Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan meneliti keperluan menaikkan kadar biasiswa pendidikan bawah tajaannya dalam usaha mendepani cabaran ekonomi semasa serta kenaikan kos sara hidup.

Pengerusinya Asyraf Wajdi Dusuki berkata semua aspek termasuk kemampuan kewangan negara juga perlu dinilai secara terperinci sebelum sebarang keputusan berkaitan kadar baharu biasiswa itu dilaksanakan.

“Setakat ini, kita meneliti secara dekat, Timbalan Perdana Menteri (Zahid Hamidi) dalam lawatan ke UK dan Jerman baru-baru ini, beliau mengarahkan saya dan Mara menilai perkara ini secara serius.

“…ini semua harus dinilai secara teliti dan mempunyai kesan kewangan, peruntukan (untuk biasiswa) itu datang dari kantung negara juga,” katanya selepas merasmikan Program Pembangunan Usahawan Automotif Mara-Petronas (PUMP) di sini, hari ini.

Beliau ditanya sama ada Mara akan menaikkan kadar biasiswa selari cabaran ekonomi semasa dan kos sara hidup dihadapi rakyat ketika ini.

Asyraf Wajdi berkata Zahid sememangnya menunjukkan keprihatinan beliau terhadap isu itu dan kerajaan berusaha mencari langkah penyelesaian berkesan.

Dalam pada itu, beliau berkata Mara memperuntukkan RM12.65 juta bagi membiayai 21 usahawan membuka 29 pusat servis bawah PUMP yang menyediakan lebih 200 peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

“Dalam tempoh dua tahun ini, usahawan bawah program PUMP mencapai nilai jualan melebihi RM35 juta…tiga lagi outlet (pusat servis) akan dibuka di Terengganu selepas Perlis.”

Beliau berkata pihaknya menyasarkan 100 pusat servis menerusi PUMP dibuka tahun depan.

PUMP yang dilaksanakan pada 2021 ialah program kerjasama Mara dan Petronas Lubricants Marketing (Malaysia) Sdn Bhd dalam usaha membangunkan komuniti usahawan automotif dinamik dan kompeten melalui peningkatan imej serta susun atur bengkel menepati piawaian industri, sekali gus mampu menjadi pesaing lebih baik di pasaran.

Di Perlis, Nasr Utara Automotif Sdn Bhd merupakan pusat servis pertama diperkenalkan menerusi PUMP.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.