Mahkamah benar Majlis Peguam cabar HRDC berhubung sumbangan dana latihan

Mahkamah benar Majlis Peguam cabar HRDC berhubung sumbangan dana latihan

Majlis Peguam berkata, memandangkan ia telah dibenarkan memohon semakan kehakiman, penguatkuasaan perintah HRDC 2021 ditangguhkan.

Majlis Peguam sedang berusaha mengecualikan firma guaman dan peguam daripada menyumbang kepada Dana Pembangunan Sumber Manusia.
PETALING JAYA:
Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan oleh Majlis Peguam untuk mencabar perintah Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRDC) menghendaki peguam membuat sumbangan mandatori kepada dana latihan.

Mahkamah membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi tahun lepas yang menolak permohonan majlis itu mendapatkan lanjutan masa untuk mematuhi arahan itu, dan permintaannya mendapatkan kebenaran memohon semakan kehakiman terhadap perbadanan itu.

Dalam pekeliling kepada ahlinya bertarikh 3 Nov, Majlis Peguam berkata, memandangkan ia telah dibenarkan memohon semakan kehakiman, penguatkuasaan perintah HRDC 2021 itu ditangguhkan.

Firma guaman dan peguam yang ditadbir oleh Akta Profesion Undang-Undang tidak dikehendaki berdaftar dengan HRDC, dan jika sudah berdaftar, ahli harus berhenti membayar levi mandatori sehingga kes selesai, menurut Majlis Peguam.

Menurut undang-undang yang mentadbir HRDC, majikan yang mempunyai 10 atau lebih kakitangan rakyat Malaysia dikehendaki mendaftar dengan perbadanan itu dan mesti menyumbang jumlah bersamaan 1% daripada gaji bulanan setiap pekerja kepada Dana Pembangunan Sumber Manusia (HRDF).

Majlis Peguam berpendapat, firma guaman harus dikecualikan daripada syarat sumbangan kepada latihan HRDF kerana Badan Peguam mempunyai program latihannya sendiri sebagai sebahagian daripada pembangunan profesionalnya yang berterusan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.