Kes i-Serve: 2 lagi suspek ditahan bantu siasatan

Kes i-Serve: 2 lagi suspek ditahan bantu siasatan

Suspek lelaki ditahan di KLIA2, manakala suspek wanita ditahan di sebuah kondominium di Sentul awal pagi tadi, menurut Bukit Aman.

Pengarah JSJK Bukit Aman Ramli Yoosuf berkata, kedua-dua suspek yang ditahan awal pagi tadi masing-masing berusia 58 dan 57 tahun. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Polis menahan dua lagi individu bagi membantu siasatan kes pengubahan wang haram melibatkan syarikat pelaburan i-Serve, yang dipercayai mempunyai kaitan dengan pengasas bersama sebuah syarikat penerbangan tambang murah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Ramli Yoosuf berkata, kedua-dua suspek yang ditahan masing-masing berusia 58 dan 57 tahun.

Katanya, suspek pertama, seorang lelaki, ditahan di pejabat Jabatan Imigresen di KLIA2 pada kira-kira 3 pagi, manakala suspek kedua, seorang wanita, ditahan di sebuah kondominium di Sentul pada 4.15 pagi tadi.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek pertama berkenalan dan berkawan dengan seorang lelaki bergelar Datuk lebih 25 tahun lepas, dan mengakui dia bersama Datuk berkenaan menubuhkan syarikat I-Serve Payment Gateway Sdn Bhd pada 2019.

“Suspek juga mengaku berperanan sebagai pengarah di tiga syarikat, iaitu Beauty Treasure Sdn Bhd, I-Serve Technology and Vacations Sdn Bhd, serta I-Serve Travel & Tours Sdn Bhd,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ramli berkata, susulan penahanan suspek pertama, polis menyerbu sebuah kondominium di Sentul dan menahan suspek kedua.

“Hasil soal siasat awal mendapati wanita tersebut merupakan seorang pekerja swasta di sebuah syarikat insurans dan tidak mengakui penglibatannya dalam kes yang sedang disiasat,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, polis turut merampas sebuah kereta Mercedes, dua telefon bimbit dan dua pasport.

Kedua-dua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Jalan Duta hari ini bagi permohonan reman, kata Ramli.

Pada 17 Okt, polis menahan seorang pengasas bersama dan pemegang saham sebuah syarikat penerbangan bergelar “Datuk” serta dua ahli keluarganya bagi membantu siasatan kes mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Susulan itu, polis menahan seorang lagi ahli perniagaan berhubung aktiviti pengubahan wang haram membabitkan syarikat penerbangan berkenaan, namun keempat-empat individu itu telah dibebaskan dengan jaminan polis.

Pada 26 Okt, polis menahan empat lagi individu bagi membantu siasatan kes berkenaan, iaitu dua lelaki dan dua wanita tempatan berusia lingkungan 30 hingga 62 tahun, di Menara KPJ, manakala seorang lagi di kawasan Bukit Tunku.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.