
Panel tiga hakim dipengerusikan oleh Hakim Hadhariah Syed Ismail berkata, hakim perbicaraan terkhilaf apabila membebaskan Lim Poh Teck, 52, kerana pihak pendakwaan telah membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Mahkamah juga memutuskan bahawa pembebasan tertuduh atas alasan tidak sempurna akal dibuat secara pramatang.
“Pembelaan tidak sempurna akal dari segi undang-undang hanya boleh ditentukan selepas penutupan kes pembelaan,” kata Hadhariah, yang bersidang bersama Hakim See Mee Chun dan Azmi Ariffin.
Mahkamah turut memerintahkan hakim yang sama mendengar pembelaan, serta mengarahkan Lim ditahan reman di penjara.
Lim ditahan dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong di Hospital Bahagia, Ulu Kinta, Perak sejak 13 Dis 2021.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Jalan Indah, Jinjang Utara, Sentul di Kuala Lumpur antara 6.30 petang dan 7 malam pada 21 Feb 2020.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Eyu Ghim Siang berhujah bahawa pakar psikiatri Dr Saramah Isa daripada Hospital Bahagia telah memberikan keterangan bahawa Lim cukup sihat untuk dibicarakan.
“Doktor juga memberikan keterangan bahawa responden sedang pulih daripada skizofrenia, yang bermakna kesihatan mentalnya bertambah baik,” katanya.
Peguam yang ditugaskan mahkamah, GC Tan berkata, hakim mendapati Lim tidak mempunyai kawalan ke atas keupayaan mentalnya pada masa kesalahan didakwa dilakukan.
“Dia mengalami gangguan mental sejak 1998 tetapi tidak menerima rawatan,” katanya.
Azmi berkata mahkamah khuatir dengan tindakan hakim bicara membebaskan Lim, namun memasukkannya ke Hospital Bahagia.
‘Tiada provokasi teruk, secara tiba-tiba’
Dalam kes lain, mahkamah sama menjatuhkan hukuman penjara 35 tahun terhadap seorang tukang kimpal selepas menolak rayuannya atas sabitan dalam kes pembunuhan seorang wanita kira-kira lima tahun lepas.
Hadhariah berkata, pembelaan Lin Siek Hong, 54, berkenaan provokasi teruk dan tiba-tiba yang mengakibatkan dia menikam Yap Choon Mooi tidak boleh diterima.
“Dia mempunyai niat untuk membunuh apabila menikam (mangsa) di jantung,” katanya.
Bagaimanapun, mahkamah menggunakan budi bicara untuk menggantikan hukuman mati yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi tahun lepas dengan hukuman penjara.
Lin melakukan kesalahan itu di Lorong Tengah, Kampung Terentang, Rawang, Selangor pada kira-kira 6.45 pagi, 11 Dis 2018.
Timbalan Pendakwa Raya Parveen Hameedah Natchiar mengendalikan pendakwaan manakala Lee Teong Hooi mewakili Lin selaku peguam.