
Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) berkata, ketika Malaysia berdepan pemulihan ekonomi pasca Covid-19, usaha mengukuhkan ringgit perlu menjadi fokus dengan meningkatkan permintaan terhadapnya.
Bekas timbalan menteri kewangan itu berkata, sebagai permulaan moratorium itu boleh dikenakan terhadap syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).
“Memang ada baiknya melabur di luar negara yang menunjukkan kita mempunyai kemampuan, tetapi dalam krisis kini memerlukan syarikat Malaysia mempunyai semangat patriotisme menukar kepada ringgit atau mengembalikan pelaburan dalam negara.
“Saya harap tahun depan kerajaan kenakan moratorium pelaburan luar negara khususnya untuk GLC dan GLIC supaya mereka mesti tumpu melabur dalam negara,” katanya dalam perbahasan Belanjawan 2024 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat.
Shahar berkata, 65% pelaburan Malaysia di luar negeri membabitkan sektor perkhidmatan dengan 35% daripadanya meliputi kewangan.
“Kenapa kita tak melabur di Bursa Malaysia untuk kukuhkan kedudukan negara terlebih dahulu,” katanya.
Beliau juga mencadangkan kerajaan memperkenalkan semula peraturan mewajibkan syarikat tempatan yang melabur luar negara untuk menukar mata wang asing kepada ringgit dalam tempoh enam bulan.
“Langkah itu diperkenalkan ketika negara berdepan krisis pada 2014 dan 2015, tetapi pada 2020 telah ditarik…saya berharap dapat dilaksanakan semula untuk mengukuhkan ringgit,” katanya.