
Mujibu Abd Muis dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata PH-BN yang masih di fasa suai kenal perlu membuktikan pakatan berusia hampir setahun itu bersifat strategik jangka panjang mewakili “undi muda”.
Ini kerana, dakwanya, dua gabungan itu masih gagal membina naratif untuk segmen muda, yang mewakili 50% jumlah pengundi.

“Anak muda ni lebih kepada perang persepsi, mereka disconnected (terputus) dengan sejarah politik Malaysia.
“Perseteruan yang panjang ini difahami daripada ‘soundbites’ yang direka di media sosial…jadi benda-benda begitu yang perlu ditepis oleh PH-BN,” katanya kepada FMT.
“Setakat ini PH dan BN masih tak buat apa-apa, saya lihat mereka gagal menangkap imaginasi pengundi muda,” katanya mengulas kenyataan Timbalan Ketua Pemuda Amanah Razak Ridzuan bahawa sayap itu gagal menguasai naratif politik dalam kalangan anak muda pada PRU15 dan PRN.
Amanah antara komponen parti dalam PH yang bekerjasama dengan BN untuk membentuk kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim.
Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar pula berpandangan PH dan BN perlu merangka strategi dengan memahami psikografi anak muda, selain merencana naratif bertepatan dengan kehendak dan minat kelompok berkenaan.
Beliau berkata undi muda sangat rapuh dan begitu terdedah kepada kumpulan yang bijak memanipulasi minat dan trend mereka.

“PN juga jangan terlalu selesa. Selera pengundi anak muda boleh berubah. Dengan sokongan yang besar kepada PN, setakat ini perjuangan PN tidak nampak mengangkat isu anak muda.
“Saya rumuskan, segmen ini sangat terbuka. Untuk memenanginya, sayap pemuda mana-mana parti perlu menawarkan sesuatu yang tepat dengan selera dan kehendak anak muda sekarang,” katanya.
Mujibu juga senada apabila menyifatkan sokongan anak muda kepada PN bukan kerana kecenderungan mana-mana tokoh politik, sebaliknya hanya didorong oleh sentimen semasa.
“Dari sudut ketokohan, nak kata PN ada, saya tak nampak juga tapi itulah… ia bukan kerana ketokohan tetapi berkait dengan sentimen semasa dan itu memang jelas ada pada PN.”