
Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil berkata LI ambil maklum PKR tidak pernah menjadi ahli pertubuhan antarabangsa itu.
Parti itu menghubungi LI semalam, bagi meminta nama dan lambangnya dikeluarkan daripada laman web pertubuhan itu.
Dalam pada itu, Fahmi memberitahu pemberita bahawa PKR akan pertimbang tindakan undang-undang terhadap pihak yang mengaitkan parti itu dengan LI, yang berpangkalan di UK.
“Berdasarkan maklum balas yang saya terima daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, kita dapati ada lebih 200 catatan berkait dengan LI yang cuba menyerang PKR, menyerang saya, menyerang pendana menteri.
“Jadi memang ada ‘coordinated behaviour’ dan ini serangan politik dan penting saya jelaskan secara fakta PKR bukan ahli LI,” katanya, yang juga menteri komunikasi dan digital, pada sidang media selepas perasmian program celik digital untuk golongan kurang upaya di Bangsar.
Semakan di laman sesawang LI mengesahkan nama dan lambang PKR sudah tiada. Setakat 3.40 petang tadi, hanya tujuh pertubuhan dari Asia masih dalam senarai LI.
Semalam, Gerakan membidas pertubuhan itu kerana menunjukkan sokongan kepada Israel tanpa kesepakatan ahlinya.
Setiausaha Agung Loh Kah Yong berkata parti itu tidak akan teragak-agak untuk menarik diri jika LI tidak menarik balik kenyataan menyokong Israel.