
Pengarah Kastam Kelantan Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata lelaki warga tempatan itu ditahan selepas sepasukan anggota cawangan penguatkuasaan Pengkalan Kubor mengekorinya sejauh 10km.
“Selepas mengekori lori yang dipandu suspek bermula dari Palekbang, Tumpat, lelaki berumur 48 tahun itu ditahan di Jalan Sultan Yahya Petra, Kota Bharu.
“Pemeriksaan lanjut di bahagian belakang lori menemukan 156 peti rokok putih mengandungi 1,560,000 batang rokok dianggarkan bernilai RM140,400 dan jumlah cukai sebanyak RM1,034,640,” katanya pada sidang media di Pejabat Penguatkuasa Kastam Pengkalan Kubor.
Mengulas lanjut, Wan Jamal Abdul Salam berkata hasil siasatan mendapati suspek mengambil upah RM550 bagi membawa rokok terbabit dari Kelantan untuk pasaran Lembah Klang.
“Rokok berkenaan dipercayai diseludup masuk melalui perairan laut dari negara jiran sebelum dibawa menggunakan lori ‘bonded’ bagi mengaburi pihak penguat kuasa.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967,” katanya dan menambah suspek telah direman selama 10 hari.