Dania kejar ranking nombor 1, layak Olimpik 2032

Dania kejar ranking nombor 1, layak Olimpik 2032

Dania Elisha Mohd Airul menamatkan pada kedudukan kelima dunia bagi pemain ping pong berusia bawah 11 tahun.

Dania Elisha Mohd Airul yang dilatih Andy Ng Shiu Leong akan melalui perancangan sembilan tahun untuk layak ke Olimpik 2032.
PETALING JAYA:
Menduduki ranking kelima terbaik dunia bagi pemain ping pong berusia bawah 11 tahun, menjadikan Dania Elisha Mohd Airul sebagai permata baharu yang berpotensi digilap bakatnya.

Tahun ini, antara kejayaan murid darjah lima Sekolah Kebangsaan Bandar Bukit Mahkota, Cheras itu adalah menjuarai dua siri kategori B11 Kejohanan Ping Pong Dunia (WTT) di Filipina dan Laos.

Dania turut menduduki tempat ketiga bagi kategori bawah 13 tahun manakala menguasai acara perseorangan, berkumpulan serta beregu bawah 12 tahun pada Majlis Sukan Sukan Malaysia.

Kini sasarannya mahu menjadi pemain nombor satu dunia bagi kategori bawah 13 tahun dan lebih jauh melayakkan diri bertanding Sukan Olimpik 2032.

“Itu cita-cita Dania, kalau boleh nak menang emas Olimpik,” katanya kepada FMT.

Di sebalik kejayaan Dania, ada kelibat bapanya Mohd Airul Hafis Zulkifli yang sanggup berhabis ribuan ringgit untuk menggilap bakat anaknya.

Mohd Airul Hafis Zulkifli .

Bagi memastikan rancangan layak ke Olimpik 2032 itu berjaya, beliau bersama jurulatih persendirian Andy Ng Shiu Leong telah merangka pelan sembilan tahun.

“Kita harap Dania akan cuba menjadi salah seorang atlet layak ke Sukan Olimpik 2032 dengan mengikut program telah ditetapkan,” katanya yang bekerja sebagai pegawai belia dan sukan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Menurut Andy perancangan itu termasuk menghantar Dania ke kejohanan di Eropah untuk mencari pesaing berbeza selain di peringkat Asia dan Asia Tenggara.

Andy Ng Shiu Leong.

“Saya nak dia berdepan pemain antarabangsa lain supaya lebih faham cara permainannya, dari situ lebih mudah nak bentuk permainan untuk layak ke Olimpik,” kata Andy.

Namun untuk menghantar Dania ke sana, Airul perlu menampung perbelanjaan jurulatih pengiring yang diwajibkan.

“Perbelanjaan Dania ditanggung Persatuan Ping Pong Kuala Lumpur tetapi perbelanjaan jurulatihnya masih di bawah tanggungan saya,” jelas Airul yang berharap ada pihak dapat menyokong usahanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.