
Pengerusi Tijah Yok Chopil berkata dakwaan Ketua Pengarah Sapiah Mohd Nor mengejutkan kerana umum tahu NGO hak pribumi memperjuangkan isu tanah kerana ia penting bagi kelangsungan komuniti itu.
“Kami amat terkejut apabila membaca kenyataan ketua pengarah itu yang mengatakan ada antara NGO yang mengaku kepada beliau bahawa mereka diupah untuk sengaja membuat kacau dengan membangkitkan isu tanah Orang Asli.
“Ini adalah suatu perbuatan yang amat pelik,” katanya dalam kenyataan yang disokong 33 NGO antaranya persatuan Orang Asli di Perak, Johor, dan Pahang serta Suaram dan Center for Orang Asli Concern.
Tijah mempersoalkan ‘pengakuan’ kepada Sapiah itu kerana ia memperlekehkan perjuangan NGO Orang Asli dan memberi maksud mereka “bodoh dan boleh dipergunakan oleh pihak lain”.
Tegasnya, umum tahu perjuangan tanah NGO Orang Asli selama ini bertujuan memelihara dan melindungi kepentingan komuniti pribumi itu.
“Perjuangan ini kami lakukan atas kesedaran dan kehendak sendiri, bukan diupah oleh mana-mana organisasi atau individu,” katanya.
Jaringan itu menggesa Sapiah mendedahkan kepada umum siapa ‘tokoh NGO’ yang membuat pengakuan itu, kerana tindakannya memalukan kumpulan yang memperjuangkan hak dan kepentingan Orang Asli.
“Untuk mengelakkan perkara ini menjadi bertambah buruk dan mencetuskan sangkaan serta spekulasi negatif, prejudis dan tidak adil terhadap kami NGO-NGO Orang Asli, kami berharap ketua pengarah bersedia untuk bertanggungjawab atas semua kenyataan tersebut dan ikhlas menjernihkan keadaan,” katanya.
Utusan Malaysia pada 1 Nov lalu memetik Sapiah sebagai mendakwa ada NGO mengakui ‘dibayar’ pihak luar untuk sengaja mencetuskan isu tanah, namun beliau tidak menamakan badan terbabit.
Sapiah turut mendakwa ada sebuah suruhanjaya yang dilihat sengaja mahukan Orang Asli terus mundur dan hidup terbiar. Beliau juga tidak menamakan badan itu.
Terdahulu, Utusan melaporkan keluhan Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia mengenai isu pewartaan tanah etnik itu.