Kemenangan GPS undi untuk pembangunan, kata Abang Jo

Kemenangan GPS undi untuk pembangunan, kata Abang Jo

Pengerusi GPS berkata kejayaan pada PRK itu bukti rakyat menyokong pembangunan berterusan daerah Bintulu.

Pengerusi GPS Abang Johari Openg meraikan kemenangan gabungan itu pada PRK Jepak hari ini. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Kemenangan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada PRK Jepak bermakna warga Bintulu memilih pembangunan, kata Pengerusi GPS Abang Johari Openg.

Abang Johari, yang juga premier Sarawak, berkata kemenangan GPS membuktikan rakyat memberi sokongan kepada pembangunan berterusan daerah Bintulu, yang merangkumi DUN Jepak.

Di samping pengambilalihan pelabuhan Bintulu, Jepak Jaya akan dibangunkan sebagai bandar industri lengkap dengan kemudahan yang boleh menarik lebih banyak pelaburan, katanya.

Tenaga kerja muda juga akan dibangunkan untuk memenuhi keperluan pembangunan negeri, tegas premier Sarawak.

Pada PRK Jepak hari ini, Iskandar Turkee dipilih sebagai wakil rakyat apabila GPS mempertahankan kemenangan lalu.

Iskandar memperoleh 9,638 undi dengan majoriti 8,784 undi. Seterunya, Stevenson Joseph Sumbang dari Parti Bumi Kenyalang mendapat 854 undi manakala Chieng Lea Phing dari Parti Aspirasi Sarawak mendapat 431 undi.

Mengulas peratusan keluar mengundi yang rendah, Abang Johari berkata ia dijangka sambil menyatakan bahawa mana-mana PRK akan menyaksikan peratusan keluar mengundi lebih kecil berbanding pilihan raya umum.

“Pertama, ramai yang bekerja di luar negeri, ramai pengundi muda juga masih di universiti. Paling banyak (peratusan keluar mengundi) yang kita dapat daripada pilihan raya kecil ialah 50% hingga 54%, tetapi hari ini kita dapat 48%, ia hampir 50%, jadi OK-lah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.