
Rozana Isa daripada kumpulan hak asasi wanita Sisters In Islam berkata, stigma ini mewujudkan persekitaran yang tidak memberikan struktur sokongan diperlukan kanak-kanak bawah umur untuk menangani persoalan dan kebimbangan berhubung seksualiti.
“Ini menyebabkan mereka jadi lebih terdedah kepada eksploitasi dan penderaan kerana tidak tahu sama ada mereka didera secara seksual atau tidak,” katanya kepada FMT.
Katanya, peralihan budaya dengan membiasakan perbincangan terbuka mengenai topik seperti itu adalah penting bagi memerangi penderaan dialami wanita dan kanak-kanak perempuan, selain mewujudkan budaya melindungi hak kanak-kanak.
Rozana turut menegaskan pentingnya merangkumkan Pendidikan Seksualiti Komprehensif (CSE) dalam kurikulum sekolah sedia ada.
Unesco mentafsirkan CSE sebagai “proses berasaskan kurikulum bagi pengajaran dan pembelajaran aspek emosi, fizikal dan sosial berkait seksualiti.”
“Apabila diintegrasikan dalam kurikulum sekolah, ia mampu membekalkan kanak-kanak bawah umur dengan pengetahuan dan kemahiran perlu bagi membuat keputusan bermaklumat lagi bertanggungjawab berkait kesihatan dan kesejahteraan seksual mereka,” katanya.
Menurutnya, ketiadaan CSE akan mengakibatkan kelopongan maklumat yang mungkin mendedahkan kanak-kanak kepada penderaan.
Rozana turut menggesa data lebih komprehensif dan telus mengenai kes melibatkan rogol bawah umur.
Beliau mengulas laporan bahawa polis Kedah menerima laporan mengenai lebih 140 kes rogol bawah umur di negeri itu, tahun ini.
Pengasas Yayasan Chow Kit Hartini Zainudin bersetuju stigma masyarakat mendedahkan kanak-kanak kepada pemangsa, tetapi turut melihat budaya menyalahkan mangsa dan keengganan melaporkan kes seperti itu turut menyebabkan mangsa enggan tampil mendapatkan keadilan.
Katanya, masyarakat memainkan peranan penting dalam mengenal pasti kanak-kanak yang berpotensi menjadi mangsa penderaan seksual. Beliau berkata, kecederaan fizikal yang tidak dapat dijelaskan, atau perubahan mendadak dalam perlakuan termasuk sikap menyendiri, agresif atau murung, ialah antara tanda-tanda yang perlu diperhatikan.
“Kanak-kanak bawah umur tidak cukup kesedaran dan pendidikan mengenai izin, sempadan dan hubungan sihat. Susulan itu bantuan masyarakat penting dalam mengekang kes rogol bawah umur.”