Polis tubuh pasukan khas siasat kes pelajar ditemukan maut

Polis tubuh pasukan khas siasat kes pelajar ditemukan maut

Mayat pelajar wanita berusia 22 tahun itu dilapor ditemukan berhampiran sebuah pusat hiburan di Kuching pada 16 Okt lepas.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Mohd Azman Ahmad Sapri memberi jaminan siasatan kes itu akan dipercepat dengan penubuhan pasukan khas itu. (Gambar Bernama)
KUCHING:
Sebuah pasukan siasatan khas telah ditubuhkan bagi menyiasat secara terperinci kes kematian pelajar berusia 22 tahun yang ditemukan berhampiran sebuah pusat hiburan di bandar raya ini pada 16 Okt lepas.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, menerusi penubuhan pasukan khas itu, pihaknya memberi jaminan akan mempercepat siasatan kes terbabit.

“Pasukan petugas ini untuk menyemak kembali siasatan, meneruskan siasatan dan percepat siasatan itu, seterusnya kita akan rujuk kepada timbalan pendakwa raya untuk arahan seterusnya,” katanya pada sidang media di IPK hari ini.

“Saya menasihati orang ramai supaya tidak membuat spekulasi sepanjang siasatan ini dan kita berjanji untuk cepatkan siasatan, kerana ia telah pun diberi komen dan mendapat keprihatinan Ahli Parlimen Stampin Chong Chieng Jen.”

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Chong pada 25 Okt lepas di Dewan Rakyat, yang memohon pasukan penyiasat polis dihantar ke Kuching bagi mencari kebenaran di sebalik kematian pelajar wanita itu, yang diklasifikasikan sebagai mati mengejut, tanpa sebarang unsur jenayah.

Menurut Chong, keluarga mangsa memaklumkan ujian air kencing ke atas mangsa mengesan tiga jenis dadah.

Pada 18 Okt lepas, Ketua Polis Kuching Ahsmon Bajah berkata, mangsa yang merupakan penuntut di sebuah pusat pengajian swasta ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di tepi jalan berhampiran sebuah pusat hiburan dan disahkan meninggal dunia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.