Polis bongkar stor dadah RM500,000, 3 lelaki ditahan

Polis bongkar stor dadah RM500,000, 3 lelaki ditahan

Mereka yang ditahan dalam Op Tapis awal pagi semalam itu termasuk dua beranak, kata polis.

Pemangku Ketua Polis Timur Laut V Saravanan (dua dari kanan) menunjukkan pelbagai dadah bernilai RM559,156 yang dirampas di Sungai Ara, Balik Pulau menerusi Op Tapis, awal pagi semalam. (Gambar Bernama)
GEORGE TOWN:
Polis membongkar sebuah rumah yang dijadikan stor penyimpanan pelbagai dadah bernilai RM559,156 di Sungai Ara, Balik Pulau hasil penahanan tiga lelaki termasuk bapa dan anak menerusi Op Tapis, awal pagi semalam.

Pemangku Ketua Polis Timur Laut, V Saravanan, berkata dalam serbuan pertama pada 1.15 pagi di tepi jalan berhampiran kawasan Ayer Itam, polis menahan dua lelaki berusia 44 dan 52 tahun yang berperanan sebagai ‘transporter’ atau pengangkut.

Beliau berkata pemeriksaan terhadap kereta dinaiki mereka menemukan satu peket dadah disyaki syabu seberat 103.8g bersama peralatan dipercayai digunakan untuk membungkus dadah.

“Hasil maklumat daripada suspek, polis menyerbu sebuah rumah di pangsapuri di Sungai Ara dan menahan seorang lelaki berusia 19 tahun, iaitu anak seorang daripada dua lelaki yang ditahan sebelum itu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menurut Saravanan, pemeriksaan di dalam rumah menjumpai 40 bungkusan mengandungi dadah disyaki heroin dianggar seberat 17.83 kg bernilai RM147,989, 40 bungkusan ganja seberat 37.6 kg bernilai RM116,833 dan lapan bungkusan syabu seberat 8.2 kg bernilai RM273,570, di dalam bilik yang dijadikan stor penyimpanan.

Saravanan berkata selain dadah, pihaknya turut menyita sebuah kereta dan wang tunai RM1,100 yang keseluruhannya bernilai RM584,256.

Beliau berkata hasil risikan mendapati mereka aktif menjalankan kegiatan itu sejak September lepas dengan kesemua dadah berkenaan dipercayai untuk pasaran tempatan dan boleh digunakan seramai 206,510 penagih.

Menurutnya, rumah itu disewa suspek yang dipercayai menggunakannya sebagai tempat untuk menyimpan dadah terbabit sebelum ia dihantar kepada pembeli.

“Modus operandi sindiket ini lebih kepada ‘transporter’. Mereka terima pesanan (dadah) dan kemudian hantar kepada pengguna, namun siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk dari mana mereka memperoleh bekalan dadah,” katanya.

Saravanan berkata dua daripada lelaki itu positif terhadap dadah dan mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah manakala lelaki berusia 19 tahun berkenaan yang merupakan penuntut sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) tidak memiliki rekod lampau.

Polis katanya, sedang mengesan saki-baki individu yang terlibat dengan sindiket berkenaan dan ketiga-tiga lelaki berkenaan kini direman hingga 8 Nov ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.