
Presidennya Karen Cheah berkata, kerakyatan ialah hak asasi manusia dan perubahan dicadangkan itu boleh menyebabkan lebih ramai orang menjadi tiada kerakyatan menerusi kuat kuasa undang-undang.
“Saya turut baca kenyataan (Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail) bahawa terdapat cara lain untuk memohon (kerakyatan), tetapi bercakap secara realistik, kita pun tahu apa yang akan jadi.
“Permohonan boleh dibuat (tetapi) tidak diproses. Pemohon tak dapat khabar daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) selama bertahun-tahun. Semua muslihat sahaja,” katanya kepada FMT.
Cheah berkata, Badan Peguam belum dirujuk mengenai pindaan itu dan tiada maklum balas diterima walaupun “dua hingga tiga” surat telah dihantar kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN).
“Saya tertanya-tanya sama ada mereka benar-benar berminat untuk membuat perubahan, atau (biarkan keadaan) sama sahaja. (Adakah) mereka melindungi kepentingan mereka?”
Dalam ucapan penggulungan Rang Undang-undang Perbekalan 2024 pada Rabu, Saifuddin mempertahankan cadangan membentangkan lapan pindaan berhubung peruntukan pemberian kerakyatan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Saifuddin memberitahu Dewan Rakyat, antara cadangan “paling sensitif” khususnya mengenai pemberian kewarganegaraan kepada anak tanpa kerakyatan dan anak terbuang.
Salah satu pindaan penting menjurus ke arah mengubah Jadual Kedua, Bahagian II, Seksyen 1(e), yang memberikan kewarganegaraan Malaysia kepada setiap orang tanpa kerakyatan yang dilahirkan di Malaysia, melalui kuat kuasa undang-undang.
Seksyen 19(b) dalam Jadual Kedua, Bahagian III – berkaitan pemberian kerakyatan kepada kanak-kanak terbuang – turut dicadangkan dipinda.
Pelbagai aktivis dan NGO, termasuk Lawyers for Liberty (LFL), mengkritik pindaan-pindaan itu dengan keras. Pindaan-pindaan tersebut dikatakan boleh memburukkan lagi isu individu tanpa kerakyatan atau meletakkan mereka dalam situasi genting.
Sementara itu, Cheah berkata, Badan Peguam telah menyampaikan rasa tidak puas hati berhubung cadangan pindaan itu kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said.
Dilaporkan bahawa cadangan pindaan itu akan dibincangkan dalam Jemaah Menteri hari ini.
Bagaimanapun, Cheah berkata, kelulusan pada peringkat Jemaah Menteri tidak mencukupi dan memerlukan libat urus sewajarnya dengan Ahli Parlimen.
“Jadi jika Ahli Parlimen benar-benar faham (pindaan) itu berkenaan apa, saya harap pindaan itu tidak mendapat majoriti dua pertiga,” katanya.