Petronas temukan minyak di Blok 52 luar pesisir Suriname

Petronas temukan minyak di Blok 52 luar pesisir Suriname

Blok 52 yang merangkumi kawasan berkeluasan 4,749km persegi itu terletak di utara pantai Paramaribo, ibu kota Suriname, menurut Petronas.

Penemuan minyak terbaru di Suriname ini adalah rentetan daripada usaha berterusan Petronas dalam memastikan keterjaminan tenaga bagi memenuhi permintaan tenaga global. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Petronas Suriname E&P BV, anak syarikat Petronas, hari ini mengumumkan penemuan minyak di telaga cari gali Roystonea di Blok 52, Suriname.

Dalam kenyataannya, syarikat minyak dan gas negara itu berkata, telaga yang terletak kira-kira 185km di luar pesisir dan pada kedalaman 904 meter, telah digerudi sehingga kedalaman keseluruhan 5,315m.

Selain itu, beberapa takungan batu pasir Campanian yang mengandungi minyak turut ditemukan.

Pada masa sama, kajian lebih teliti perlu dijalankan bagi menentukan sepenuhnya penemuan ini serta potensi sinergi pembangunannya dengan penemuan Sloanea-1 pada 2020 dalam blok sama, katanya.

Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Huluan Petronas Adif Zulkifli berkata, kumpulan itu menyifatkan penemuan minyak Roystonea-1 sebagai satu perkembangan positif dalam merealisasikan strategi berbeza bagi usaha sama huluan antarabangsa menerusi tumpuan terhadap penemuan penting dengan bahan cemar yang minimum.

Sementara itu, Naib Presiden Eksplorasi Petronas Mohd Redhani Abdul Rahman berkata, kejayaan Roystonea-1 dijangka memacu usaha cari gali dengan lebih lanjut bagi mendapatkan sumber hidrokarbon yang berdaya maju secara komersial di kawasan sekitar.

“Petronas akan terus bekerjasama erat dengan pihak berkuasa terbabit, Staatsolie dan rakan niaga bagi memanfaatkan potensi hidrokarbon Suriname. Kami juga berharap dapat melaksanakan program-program cari gali yang selamat dan berjaya secara bersama,” katanya.

Mengulas selanjutnya, Petronas berkata, Blok 52 yang merangkumi kawasan berkeluasan 4,749km persegi itu terletak di utara pantai Paramaribo, ibu kota Suriname dan dalam lembangan Suriname-Guyana.

Petronas Suriname E&P ialah pengendali Blok 52 dengan kepentingan penyertaan sebanyak 50%.

Selain Blok 52, Petronas Suriname E&P turut mengendalikan Blok 48 dengan kepentingan penyertaan penuh.

“Ia juga merupakan rakan kongsi dengan 30% kepentingan penyertaan tanpa operasi di Blok 53 yang menyaksikan penemuan minyak Baja-1 pada 2022,” kata Petronas.

Penemuan terbabit adalah rentetan daripada usaha berterusan Petronas dalam memastikan keterjaminan tenaga bagi memenuhi permintaan tenaga global yang kian meningkat, katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.