
Beliau juga memberi amaran bekalan yang tidak mencukupi mendorong perniagaan menjauhkan diri dari Malaysia.
“Syarikat sedia ada meninggalkan Malaysia kerana sumber air tidak mencukupi,” katanya.
“Dengan menjadikan (isu) air keutamaan dalam keselamatan negara, kita melindungi negara daripada ketidaktentuan perubahan iklim,” katanya dalam kenyataan.
Santiago, yang juga bekas Ahli Parlimen Klang menambah, ketersediaan air yang mencukupi boleh menjadi tarikan utama bagi perniagaan baharu.
Beliau menyeru firma swasta memainkan peranan penting dalam pemuliharaan air dan meningkatkan keutamaan air dalam strategi alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
Santiago berkata, melihat sumber air daripada perspektif keselamatan negara akan memberikan sektor itu keutamaan tertinggi dalam perancangan kerajaan dan peruntukan sumber.
“Belanjawan 2024 memperuntukkan RM1.1 bilion untuk pembangunan prasarana di Sabah, Labuan dan Kelantan. Bagaimanapun, pembinaan lima kapal tempur pesisir menelan belanja RM11.9 bilion walaupun kita bukan sedang berperang,” katanya.
Beliau berkata, jika RM11.9 bilion diperuntukkan bagi sektor air, negara boleh mencapai lebih tinggi dalam inisiatif mengurangkan kadar air tidak terhasil, mendorong ke arah air ditebus guna, pembersihan sungai, dan pembangunan prasarana air lain.
Pada September, Sultan Kelantan Sultan Muhammad V menggesa misi pelaburan dijalankan bagi memastikan negeri itu terus dipromosi sebagai destinasi pelaburan yang kompetitif.
Baginda dilaporkan bertitah, negeri itu memerlukan pembangunan mampan, dengan penekanan terhadap perlindungan alam sekitar.
Baginda turut menggesa sumber air negeri diuruskan dengan lebih mampan dan holistik, termasuk mengurangkan air tidak terhasil, yang mencapai 53.7% tahun lalu.