KPKT sedia garis panduan penginapan pekerja

KPKT sedia garis panduan penginapan pekerja

Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan berkata garis panduan penginapan itu bagi memastikan kebajikan pekerja dipelihara.

Sebelum ini, terdapat beberapa laporan media mengenai kebajikan pekerja asing yang terpaksa tinggal dalam rumah atau asrama yang sempit.
KUALA LUMPUR:
Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) membangunkan garis panduan penginapan, bagi memastikan kebajikan pekerja dipelihara dan mematuhi perundangan.

KPKT dalam kenyataan memaklumkan, kementerian menyediakan Prosedur Permohonan Bagi Penyediaan Penginapan Pekerja Secara Jangka Pendek (TLQ) untuk tempoh sementara iaitu 2024-2026 dan Garis Panduan Perancangan Penginapan Pekerja Berpusat (CLQ) bagi pelaksanaan jangka masa panjang.

Kenyataan itu memaklumkan garis panduan itu, disediakan bagi membantu pihak berkuasa negeri, pihak berkuasa tempatan, agensi kerajaan, pihak pemaju, majikan, pengilang dan pengusaha penginapan, dalam menyediakan penginapan pekerja.

“Perkara itu meliputi pekerja asing dan pekerja tempatan selaras keperluan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 serta akta-akta lain berkaitan,” menurut kenyataan KPKT.

Sebelum ini, terdapat beberapa laporan media mengenai kebajikan pekerja asing yang terpaksa tinggal dalam rumah atau asrama yang sempit.

Menurut laporan itu, berpuluh-puluh pekerja asing terpaksa tinggal dalam ruangan asrama yang sesak tanpa kemudahan lengkap tandas dan bilik mandi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.