
Pengarah Kastam Pulau Pinang, Hamisan Kalip, berkata pasukan penguatkuasaan menahan sebuah kontena pada 3.15 petang sebelum membawanya ke Bahagian Penguatkuasaan Kompleks Pencegahan JKDM Pulau Pinang untuk pemeriksaan lanjut.
“Hasil pemeriksaan rapi dalam kontena itu menemukan sebanyak 1,832 kotak bertanda ‘instant noodles’ mengandungi roti putih disyaki tidak berkastam yang dicampur bersama dagangan mi segera tersebut.
“Kami menemukan sebanyak 5.8 juta batang rokok putih yang disorok dalam kotak-kotak mi segera tersebut dipercayai bagi mengelak dikesan pihak berkuasa. Nilai rokok itu kira-kira RM461,721.60 dan cukai berjumlah RM3.7 juta. Jumlah keseluruhan RM4.2 juta,” katanya pada sidang media.
Katanya, siasatan awal mendapati kontena itu dikendalikan sebuah syarikat perkapalan dan penghantaran serta logistik yang mempunyai cawangan di Pelabuhan Klang dan ini kali pertama syarikat tersebut membawa masuk dagangan itu.
Hamisan berkata susulan itu, pihaknya menahan pengarah syarikat tersebut iaitu seorang lelaki berusia 47 tahun untuk siasatan lanjut dan dia telah dibebaskan dengan jaminan selepas direkodkan keterangan.
Katanya, berdasarkan dokumen yang diperoleh, dagangan tersebut disyaki dibawa masuk dari negara di Asia Barat dan semua rokok itu untuk pasaran negara ini.
“Modus operandi yang digunakan oleh sindiket itu adalah dengan mengikrar dagangan sebagai mi segera dalam ‘bill of lading’ namun sebenarnya menyorokkan rokok-rokok putih dalam kotak mi segera berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti rangkaian sindiket yang dipercayai terlibat dalam kegiatan penyeludupan tersebut.
Menurutnya kes itu disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) dan Seksyen 135(1)(g) Akta Kastam 1967 serta Seksyen 74(1) (e) Akta Eksais 1976.