
Ketua Pengarahnya, Zamri Ramli, berkata antara kawasan terlibat ialah sekitar Lembah Klang, Tanjung Bungah dan Paya Terubong di Pulau Pinang, Ipoh (Perak), Cameron Highlands (Pahang), Kundasang (Sabah) dan Bau di Sarawak.
Beliau berkata, sebagai tindakan kesiapsiagaan dalam menghadapi bencana geologi tanah runtuh menjelang MTL yang dijangka bermula bulan ini, JMG melaksanakan pemantauan terhadap 254 cerun kritikal di seluruh negara.
“Sejumlah 104 lokasi cerun diklasifikasikan sebagai cerun kritikal tahap tinggi manakala 97 dan 53 lokasi cerun diklasifikasikan sebagai cerun kritikal sederhana dan rendah,” katanya dalam kenyataan.
Berdasarkan pemantauan, Zamri berkata sejumlah 37 cerun diambil tindakan mitigasi, 15 sedang diambil tindakan mitigasi manakala 202 lagi dalam perhatian untuk tindakan selanjutnya.
Zamri berkata, JMG juga menjalankan pemetaan di tujuh lokasi Taman Eko Rimba (TER) yang berpotensi berlaku bencana geologi aliran puing.
TER berkenaan ialah Lata Iskandar di Perak, Sungai Tua (Selangor), Jeram Toi (Negeri Sembilan), Chamang (Pahang) serta Lata Payung, Chemerong dan Air Menderu di Terengganu.
JMG menasihatkan orang ramai yang berada di kawasan berisiko seperti kawasan yang pernah mengalami tanah runtuh supaya peka dengan keadaan sekeliling seperti berlaku runtuhan atau pergerakan kecil cerun tanah, retakan atau rekahan pada dinding, tembok atau tiang rumah serta kesan bonggol, rekahan atau mendapan pada jalan dan pokok yang berterusan condong.
Sekiranya terdapat tanda berlaku ancaman tanah runtuh, orang ramai diminta hubungi JMG atau pihak berkuasa yang berkaitan untuk memberi maklumat atau mendapatkan bantuan.
Maklumat lanjut dan aduan kepada JMG boleh dikemukakan kepada “person in charge” (PIC) atau individu bertanggungjawab bagi pelaporan tanah runtuh menerusi pautan https://mygems.jmg.gov (aduan bencana).