Ubah suai KSAS: Kelantan dibimbangi dilanda banjir teruk

Ubah suai KSAS: Kelantan dibimbangi dilanda banjir teruk

PKR Kelantan dan 12 NGO hantar memorandum bantahan rancangan kerajaan negeri ubah suai kawasan sensitif alam sekitar.

Banjir lebih teruk dibimbangi berlaku di Kelantan kesan pengubahsuaian Pemuliharaan dan Pembangunan Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) membabitkan 514,898 hektar. (Gambar Bernama)
KOTA BHARU:
PKR Kelantan bersama 12 NGO menghantar memorandum kepada kerajaan negeri membantah cadangan pengubahsuaian Pemuliharaan dan Pembangunan Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) membabitkan kawasan seluas 514,898 hektar.

Timbalan Ketua PKR Kelantan, Syed Mohd Alidustur Syed Mohd Zain, berkata jika cadangan itu diteruskan, Kelantan bukan sahaja berdepan penamatan pembayaran Pemindahan Fiskal Ekologi untuk Pemuliharaan Biodiversiti (EFT), tetapi juga banyak kesan negatif akan dihadapi termasuk bencana banjir.

“12 NGO terlibat bersama kami (PKR Kelantan) seperti Pertubuhan Bantuan Kebajikan Ketereh, Kelab Pautan Kasih Malaysia (KPKM) Bachok, dan Pertubuhan Akal Fikiran Negeri Kelantan (AMK).

“Kami membantah sekerasnya cadangan itu (KSAS) yang boleh menjejaskan ekologi sekali gus membawa bencana di negeri ini khususnya dan berharap memorandum bantahan ini dipertimbangkan demi masa depan Kelantan yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum berkenaan kepada Ketua Penolong Setiausaha Khidmat Pengurusan Pejabat Kerajaan Negeri Imran Mansor.

Sementara itu, wakil NGO daripada Himpunan Kasih, Dr Rosli Allani Abd Kadir berkata jika cadangan tersebut diteruskan, tidak mustahil Kelantan akan berdepan banjir lebih teruk dan memberi kesan kepada rakyat.

“Banyak perkara akan berlaku dan yang menanggungnya adalah rakyat. Jika pembukaan hutan dilakukan, haiwan yang ada akan terancam dan pastinya akan keluar ke kawasan lain untuk mencari makanan terutama di kawasan penempatan penduduk,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohamed Fadzli Hassan memaklumkan cadangan pengubahsuaian KSAS di Kelantan masih pada peringkat program pendengaran awam (publisiti dan penyertaan awam) yang bermula 11 Okt hingga 11 Nov ini.

Baru-baru ini, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata kerajaan bercadang menghentikan pembayaran EFT kepada Kelantan jika cadangan pengubahsuaian Pemuliharaan dan Pembangunan KSAS di negeri itu diteruskan.

Menurut Nik Nazmi pengubahsuaian KSAS di Kelantan akan memberikan implikasi antaranya menjejaskan dasar kerajaan dalam mencapai 50% keluasan tanah berhutan di Semenanjung Malaysia selaras dengan dasar Rancangan Fizikal Negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.