Perkeso laksana 5 intervensi bantu pekerja MYAirline

Perkeso laksana 5 intervensi bantu pekerja MYAirline

Intervensi pertama dilakukan sejurus MYAirline mengumumkan penggantungan operasi, kata Perkeso.

Perkeso bekerjasama dengan Malaysia Airlines merencana usaha menyerap kakitangan MYAirline melalui temu duga bagi jawatan kru kabin, jurutera, dan khidmat pelanggan pada 14 Okt lalu. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sudah menjalankan lima program intervensi dalam membantu merungkai kemelut dialami pekerja syarikat penerbangan tambang murah, MYAirline.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata intervensi pertama diadakan melalui mesyuarat secara dalam talian bersama pengurusan sumber manusia syarikat berkenaan pada 12 Okt lepas, iaitu sejurus selepas MYAirline mengumumkan penggantungan operasi.

Bersandarkan maklumat mengenai situasi semasa pekerja syarikat itu, Perkeso bekerjasama dengan Malaysia Airlines merencana usaha menyerap kakitangan MYAirline melalui temu duga bagi jawatan kru kabin, jurutera, dan khidmat pelanggan pada 14 Okt.

Azman berkata perkembangan itu membawa kepada dua lagi mesyuarat lanjutan secara dalam talian dan fizikal dilangsungkan, masing-masing pada 18 serta 19 Okt.

“Mesyuarat membabitkan pengurusan tertinggi MYAirline ini adalah untuk merangka program susulan yang perlu diadakan secepat mungkin, demi memastikan kebajikan dan kelangsungan hidup pekerja syarikat penerbangan ini terjamin.

“Hasil mesyuarat itu kemudian membawa kepada taklimat faedah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) dan pemprofilan pekerja oleh Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan untuk kakitangan MYAirline bertempat di Subang Jaya, selama dua hari bermula 25 Okt,” katanya dalam kenyataan.

Menerusi taklimat itu, Perkeso turut mendapatkan butiran pekerja MYAirline untuk proses 357 permohonan faedah SIP bagi tempoh maksimum selama enam bulan, demi menjamin kelangsungan hidup keluarga mereka.

Katanya, usaha Perkeso menyalurkan bantuan demi merungkai kemelut dialami pekerja MYAirline turut mendapat kerjasama daripada Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia.

Mengulas lanjut, Azman berkata status kontrak perkhidmatan pekerja MYAirline yang seakan tergantung antara faktor yang mempengaruhi proses permohonan faedah melalui Akta Sistem Insurans Pekerjaan.

Bagaimanapun Perkeso akan terus melipatgandakan usaha ke arah penyaluran bantuan termasuk dari segi pemberian faedah, penempatan pekerjaan baharu dan peningkatan kemahiran dalam kalangan pekerja MYAirline.

MYAirline mengumumkan penggantungan operasi berkuat kuasa 12 Okt sehingga diberitahu kelak, antara lain disebabkan tekanan kewangan yang menyebabkan operasi perlu digantung sementara menunggu penstrukturan semula pemegang saham dan permodalan semula syarikat.

Semalam, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia mengumumkan pihaknya menggantung lesen perkhidmatan udara MYAirline berkuat kuasa serta-merta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.