Pengusaha Menu Rahmah dapat diskaun hingga 40%

Pengusaha Menu Rahmah dapat diskaun hingga 40%

KPDN berkata antara barangan mentah ditawarkan diskaun adalah ayam, bawang dan barang asas makanan lain bagi membantu pengusaha mengurangkan kos penyediaan Menu Rahmah.

April lalu FMT melaporkan harapan peniaga program Menu Rahmah yang menjual hidangan pada harga RM5 dibantu dengan pemberian insentif seperti pembelian bahan mentah.
PETALING JAYA:
Sebanyak 5,000 jenis barangan dijual pada harga hingga 40% lebih rendah kepada pengusaha Menu Rahmah yang memegang kad diskaun khas, kata Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Armizan Ali.

Beliau berkata tawaran harga istimewa itu melibatkan enam pasar raya iaitu AEON BiG, Econsave, Giant, Lotus’s, Mydin serta NSK.

“Antara barangan ditawarkan dengan kadar diskaun kepada pengusaha Menu Rahmah yang diluluskan penyertaan dalam program ini adalah barangan mentah seperti ayam, bawang dan barang asas makanan lain bagi membantu pengusaha mengurangkan kos penyediaan Menu Rahmah,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, permohonan bagi kad diskaun khas itu dibuka bermula hari ini melalui portal https://menurahmah.kpdn.gov.my.

“Antara syarat permohonan adalah warganegara Malaysia; telah berdaftar sebagai pengusaha Menu Rahmah di bawah KPDN; dan perniagaan berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan pihak berkuasa tempatan,” katanya.

April lalu, FMT melaporkan harapan peniaga program Menu Rahmah yang menjual hidangan pada harga RM5 dibantu dengan pemberian insentif seperti pembelian bahan mentah.

Susulan itu, KPDN memaklumkan akan mewujudkan mekanisme khas bagi memberikan potongan harga istimewa selain mengesahkan status peniaga untuk memudahkan tuntutan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.