
Syed Saddiq berkata, sasaran asal parti tersebut adalah untuk mengumpul sebanyak RM1.5 juta. Daripada jumlah RM1.1 juta yang dikumpul, katanya, parti hanya menggunakan RM858,252 untuk kempen mereka.
“Punca tidak semua dana itu digunakan kerana kebanyakannya diterima pada saat akhir, dan kami tahu tidak bijak untuk berbelanja pada saat akhir untuk satu kerusi,” katanya dalam sidang media.
Ahli Parlimen Muar itu berkata, baki dana berkenaan akan digunakan dalam pilihan raya akan datang yang akan disertai parti itu.
Syed Saddiq berkata secara purata parti itu membelanjakan RM45,000 untuk setiap kerusi yang ditandingi, tambahnya, ada Ahli Parlimen memberitahunya jumlah itu adalah terlalu kecil.
“Tetapi itu sahaja yang kami ada,” katanya.
Semua 19 calon Muda yang bertanding dalam PRN lalu kalah dan hilang deposit.
Menurut laporan audit mengenai dana yang dikumpul Muda untuk bantuan banjir pada Disember 2021, Syed Saddiq berkata kira-kira 45,000 penderma memberi sumbangan berjumlah RM2.1 juta untuk Misi Banjir Mari Bantu.
“Walaupun menghadapi cabaran dalam proses audit banjir namun audit itu tetap menjadi keutamaan, dan bagi memastikan ketelusan Muda mendapatkan perkhidmatan firma audit terkemuka yang bereputasi baik.
“Audit bermula pada September 2022 dan kami berharap ia akan selesai dalam tempoh terdekat,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya bilakah pemilihan pertama parti itu akan diadakan, Syed Saddiq berkata perkara itu akan diputuskan mengikut “perlembagaan parti”.
“Kalau boleh, kami mahu mengadakan pemilihan parti secepat mungkin mengikut perlembagaan parti kami,” katanya.
Pada Ogos lalu, Setiausaha Agung Muda Amir Hariri Abd Hadi berkata parti itu akan mengadakan pemilihan dalaman menjelang Disember tahun depan.
Amir berkata adalah menjadi amalan biasa bagi parti politik untuk tidak mengadakan pemilihan sulung mereka sejurus selepas tahun pertama kewujudannya.