
Hakim Azura Alwi turut memerintahkan pihak pendakwaan mengemukakan kepada mahkamah salinan keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) oleh saksi berkenaan, Zarul Ahmad Zulkifli.
SPRM pada 2018 merakam keterangan Zarul berkaitan kes penipuan membabitkan seorang lagi individu yang berpotensi menjadi saksi, G Gnanaraja.
Azura berkata, beliau akan tentukan sama ada terdapat percanggahan antara keterangan Zarul kepada SPRM itu dengan keterangan kepada mahkamah tahun ini, sebelum mendengar prosiding mencabar kredibiliti saksi itu.
Hakim menetapkan 17 Nov untuk sebutan kes.
Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin memberitahu mahkamah bahawa pihaknya akan menyerahkan keterangan Zarul itu sebelum kes disebut.
Terdahulu, peguam Lim meminta pihak pendakwaan mengemukakan salinan keterangan-keterangan Zarul dalam usaha untuk memulakan prosiding mencabar kredibiliti saksi itu.
Pihak pembelaan mendakwa Zarul memberikan keterangan bercanggah kepada SPRM berhubung dakwaan pembayaran RM2 juta.
Zarul bulan lalu memberitahu mahkamah bahawa pada 2017, beliau membayar sejumlah RM4 juta kepada Lim dan perdana menteri ketika itu, Najib Razak.
Bayaran itu sebahagian daripada sogokan yang didakwa diterima Lim bagi projek terowong itu, katanya.
Beliau juga mendakwa RM2 juta lain itu untuk Najib kerana dia fikir bekas perdana menteri tersebut berada pada kedudukan untuk “mempengaruhi” SPRM menutup siasatan terhadapnya.
Lim didakwa ketika menjawat jawatan ketua menteri meminta balasan berjumlah 10% daripada keuntungan yang akan diperoleh kelak daripada projek terowong dasar laut itu, dan menerima RM3.3 juta daripada ahli perniagaan tersebut.
Beliau juga didakwa atas dua tuduhan menyebabkan lot tanah milik kerajaan negeri bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju.