
Ketua Pengarah ICU JPM, Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, berkata ia termasuk projek baik pulih dan pembinaan rumah baharu, menaik taraf prasarana kecil, dan membaiki jalan.
Peruntukan itu selaras hasrat Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk menoktahkan masalah kemiskinan.
“Di Terengganu, kita akan bekerjasama dengan pelbagai agensi dan kerajaan negeri untuk laksanakan projek dan program.
“Setakat ini, kita dah senaraikan pelbagai projek yang meliputi peruntukan RM21 juta. Semua (projek) dah ada tajuk, dah ada dalam komitmen…cuma tunggu nak berjalan,” katanya pada majlis penyerahan Rumah Inspirasiku MyHaus Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) di Kampung Kubur Timah, Batu Rakit.
Projek Rumah Inspirasiku MyHaus dibina menerusi kerjasama antara YaPEIM dan ICU JPM bagi membantu golongan miskin tegar memiliki kediaman sendiri.
Melalui kerjasama itu, sejumlah RM695,000 diperuntukkan bagi projek membaik pulih lima rumah dan pembinaan lapan rumah baharu di Terengganu, menurut Wan Ahmad.
“Tiga rumah baharu dan empat rumah yang dibaik pulih telah siap untuk diserahkan kepada pemilik dalam masa terdekat. Baki projek dijadualkan siap sebelum akhir tahun ini,” katanya.