
Hasbie berkata perwakilan sayap boleh menilai gerak kerja dan prestasinya sepanjang memegang jawatan itu pada Oktober 2021, menggantikan Shazni Munir Mohd Ithnin yang meninggal dunia.
“Jika gagal, sudah pasti saya akan kalah teruk atau mendapat tempat tercorot (pada pemilihan).
“Saya tidak akan melarikan diri atau elak dari dihukum dalam pemilihan, sebagai pemimpin jangan takut ditolak atau dihukum jika benar kita gagal atau tidak menunjukkan prestasi baik,” katanya kepada FMT.
Pada 27 Okt lalu, Razak mengumumkan tidak akan bertanding pemilihan sayap itu kerana bertanggungjawab di atas kegagalan mereka menarik pengundi muda Melayu dan mencadangkan pimpinannya digantikan muka baharu.
Beliau berkata pandangan itu berdasarkan kegagalan Pemuda Amanah menguasai naratif politik dalam kalangan anak muda yang majoritinya menyokong Perikatan Nasional (PN) pada PRU15 dan PRN Ogos lalu.
Mengulas kenyataan orang nombor duanya itu, Hasbie mengakui sayap berkenaan mempunyai kelemahan namun menyifatkan kesimpulan mereka gagal secara mutlak adalah ‘terlalu remeh’.
“Semua maklum bahawa undi Melayu dikuasai Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) merosot manakala peningkatan dilihat pada PN. Begitu juga undi anak muda,” katanya.
Namun tegasnya Pemuda Amanah juga mempunyai kejayaan seperti penyatuan dan perpaduan selepas terjejas teruk akibat tindakan lompat parti bekas ketua Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim.
Hasnul menjadi ketua Pemuda Amanah pada pemilihan 2019 bagi menggantikan Sany Hamzan yang tidak mempertahankan jawatan. Hasnul keluar parti susulan pembentukan kerajaan PN dan BN di Perak pada Mac 2020.
Selain Hasbie yang akan mempertahankan jawatan ketua bagi kira-kira 70,000 ahli sayap, dua individu lain menyatakan minat untuk bersaing iaitu Adun Batu Tiga Danial Al Rashid Haron Aminar Rashid dan Exco Pemuda Azhar Rahman.