
Ong Kian Ming, yang juga bekas timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri berkata kebimbangan yang dibangkitkan pada akhir 2018 adalah berkenaan kesan skim itu kepada peminjam.
“Cadangan itu mengurangkan jumlah bayaran pinjaman bagi mereka yang berpendapatan di bawah RM2,000 sebulan tetapi menyaksikan peningkatan bayaran bulanan bagi mereka yang berpendapatan lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan.
“Ini menyebabkan berlakunya lonjakan tinggi dalam bayaran bulanan bagi mereka yang berpendapatan melebihi RM4,000 sebulan, sebagai contoh.”
Ong pernah menjadi ahli lembaga PTPTN dari Jun 2018 hingga Januari 2020.
Beliau mengulas kritikan baru-baru ini oleh Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan terhadap cadangan Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk mengutip bayaran pinjaman pelajar melalui potongan gaji bulanan secara automatik.
Wan Saiful berkata beliau membuat cadangan serupa ketika menjadi pengerusi PTPTN pada tahun 2018, tetapi cadangan itu dibantah oleh Anwar dan Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Nasir. Inisiatif itu kemudiannya ditangguhkan.
Ketika ini, bayaran pinjaman PTPTN melalui potongan gaji adalah secara sukarela.
Ong juga mencadangkan bayaran pinjaman berasaskan pendapatan boleh diperkenalkan secara beransur-ansur dengan mempertimbangkan pelbagai kategori pendapatan dan hanya diterima pakai kepada penerima baru PTPTN.
“Peminjam baru akan mengetahui tentang skim ini sejak awal lagi dan tidak akan terkejut dengan kadar bayaran yang lebih tinggi jika mereka mula mendapat gaji yang lebih tinggi selepas menamatkan pengajian,” katanya yang menambah mereka boleh menguruskan kewangan secara berkesan.
Bekas Ahli Parlimen Bangi itu juga mencadangkan penyelesaian tambahan, seperti mengkaji semula pinjaman PTPTN tertentu dengan kadar bayaran yang lebih tinggi, dan bekerjasama dengan agensi pemungut hutang untuk meningkatkan kadar bayaran.
Bagaimanapun, beliau tidak bersetuju dengan cadangan Wan Saiful untuk meletakkan PTPTN di bawah kawalan Kementerian Kewangan bagi beroperasi lebih seperti institusi kewangan.
“Ini akan mengalihkan PTPTN daripada matlamat asalnya sebagai pemberi pinjaman kepada pelajar untuk pendidikan tinggi, terutamanya bagi mereka dalam kategori B40,” katanya.