Tubuhkan badan pantau pengajaran STEM di sekolah, kerajaan diberitahu

Tubuhkan badan pantau pengajaran STEM di sekolah, kerajaan diberitahu

Yunus Yasin berkata, ini bagi memastikan pelajar Tingkatan 3 tertakluk pada standard pembelajaran yang tinggi dalam mata pelajaran STEM.

Kemasukan pelajar ke dalam aliran STEM telah meningkat hampir 5% – daripada 40.95% pada 2021 kepada 45.73% tahun ini.
PETALING JAYA:
Seorang pakar pendidikan menggesa agar badan bebas ditubuhkan bagi memantau pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) di sekolah.

Presiden Persatuan Sains Teknologi dan Inovasi (Asti) Yunus Yasin berkata, badan seumpama itu perlu bagi memastikan pelajar Tingkatan 3 tertakluk pada standard yang tinggi dalam mata pelajaran STEM.

Beliau mengulas peningkatan hampir 5% dalam kemasukan pelajar ke dalam aliran STEM – daripada 40.95% pada 2021 kepada 45.73% tahun ini.

“Persoalannya, bagaimana peningkatan itu dicapai? Terdapat dua cara untuk mendapatkan ‘A’ – sama ada dengan belajar bersungguh-sungguh atau standard ‘A’ direndahkan,” kata Yunus kepada FMT.

“Penyaluran (melalui penilaian standard) tidak lagi dilakukan. PT3 dimansuhkan sejak beberapa tahun lepas. Jadi, bagaimana peningkatan ini dicapai? Bagus jika perkara ini dapat dikaji badan bebas.”

Yunus berkata, kualiti mata pelajaran STEM yang diajar di sekolah perlu dikekalkan kerana bidang ini penting untuk pembangunan negara.

“Untuk sesebuah negara itu maju, perlu ada asas yang kukuh dalam sains dan matematik, kerana teknologi memacu kehidupan seharian,” katanya.

“Daripada penghasilan makanan hinggalah kepada baja yang digunakan (untuk bercucuk tanam), semuanya didorong oleh teknologi. Semua ini memerlukan teknologi dan orang yang boleh mencipta, membina dan mengurus teknologi.”

Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar berkata, pelajar STEM akan dapat menyumbang kepada kemajuan dalam bidang seperti robotik, kecerdasan buatan, bioteknologi dan tenaga boleh baharu.

“STEM juga memainkan peranan penting dalam menangani cabaran global seperti perubahan iklim, penjagaan kesihatan, keterjaminan makanan dan pembangunan mampan,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, kerajaan harus mengukuhkan peningkatan kemasukan pelajar dalam aliran STEM dengan menyediakan lebih banyak latihan dan sumber untuk guru-guru mengintegrasi teknologi dalam pengajaran.

“Kementerian juga boleh memudahkan perkongsian antara guru dan golongan profesional dalam bidang STEM,” katanya.

“Ini boleh melibatkan mengundang penceramah jemputan, menganjurkan lawatan ke lapangan berkaitan dengan STEM, dan mengatur mentor profesional.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.