
Tinjauan FMT di beberapa pasar basah dan pasar raya mendapati harga ayam mentah dijual antara RM8 hingga RM9 sekilogram di bawah
harga siling RM9.40 sebelum ini.

Suri rumah Fatimah Pilus, 69, berharap harga ayam akan kekal rendah dan mahu kerajaan memantau bagi mengelakkan ada pihak mengambil kesempatan.
Harapan sama turut disuarakan peniaga makanan dikenali Rubaiyah yang bimbang kenaikan harga akan memberi kesan kepada peningkatan kos operasi perniagaannya.
“Kalau harga naik sangat pun kesian dengan pelanggan yang membeli makanan dijual,” katanya.

Pada Isnin, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu mengumumkan penamatan kawalan harga dan subsidi ayam mulai 1 Nov.
Mohamad berkata penamatan subsidi ayam mengambil kira situasi dan trend semasa bekalan serta harga ladang dan kos pengeluaran ayam sudah mulai stabil.
Beliau turut memberi jaminan bahawa pihaknya akan membuat pemantauan supaya harga ayam tidak naik secara mendadak.