
Mara berkata, siasatan dilakukan pihak pengurusan MRSM bersama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) juga mendapati dewan selera institusi itu dalam keadaan bersih serta proses pengendalian makanan mematuhi standard ditetapkan.
“Lanjutan daripada pemerhatian tersebut, PKD dan pihak pengurusan MRSM memberi beberapa teguran ke atas pengusaha dewan selera,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, ibu kepada pelajar MRSM tersebut mendakwa dewan selera sekolah itu menghidangkan telur rosak menyebabkan ramai pelajar mengalami sakit perut dan cirit birit.
Hantaran di Facebook itu mendapat perhatian Pengerusi Mara, Asyraf Wajdi Dusuki, yang memaklumkan pihaknya mengarahkan timbalan ketua pengarah pendidikan Mara menyiasat kejadian tersebut dan mengambil tindakan tegas serta memastikan kes tidak berulang.
Sementara itu, Mara berkata pihaknya prihatin dengan kebajikan dan keselamatan seluruh pelajar di Institusi Pendidikan MARA (IPMA) termasuk MRSM dan akan mengambil tindakan sewajarnya jika perkara seumpama ini berlaku mengikut prosedur yang ditetapkan.
“Mara meminta ibu bapa tidak perlu bimbang dan sentiasa berhubung dengan pihak pengurusan MRSM berkaitan untuk mendapatkan maklumat lanjut,” katanya.