Remaja antara 8 samseng upahan ceti haram ditahan

Remaja antara 8 samseng upahan ceti haram ditahan

Polis berkata kumpulan samseng upahan itu dibayar RM600 untuk melakukan khianat simbah cat dan RM1,000 bagi khianat dengan api.

Polis menahan suspek 16 hingga 43 tahun dalam beberapa siri serbuan di Kota Tinggi, Seri Alam dan Segamat antara 22 hingga 25 Okt lalu.
PETALING JAYA:
Seorang remaja antara lapan lelaki ditahan melakukan khianat dengan api, menyimbah cat dan ugut mangsa ceti haram di Johor.

Ketua Polis Johor, Kamarul Zaman Mamat, berkata suspek 16 hingga 43 tahun itu ditahan dalam beberapa siri serbuan di Kota Tinggi, Seri Alam dan Segamat antara 22 hingga 25 Okt lalu.

Katanya, kumpulan samseng upahan itu aktif sejak Ogos lalu dengan bayaran RM600 untuk melakukan khianat simbah cat dan RM1,000 bagi khianat dengan api.

“Mereka melakukan gangguan terhadap mangsa yang gagal melangsaikan pinjaman dengan ceti haram.

“Hasil serbuan polis merampas barangan termasuk 15 telefon bimbit, tong cat warna merah, tin semburan cat warga hitam, nota ugutan, sarung tangan dan topeng plastik.

“Turut dirampas sebuah Perodua Bezza, sebuah Proton Waja dan sebuah Proton Saga,” katanya menurut Harian Metro dalam sidang media di IPK Johor.

Susulan itu, katanya polis berjaya menyelesaikan 45 kes berkaitan di Johor Bahru, Iskandar Puteri, Kulai, Kluang, Seri Alam, Kota Tinggi, Muar, Pontian, Batu Pahat dan Segamat, serta empat kes di Melaka dan satu kes di Negeri Sembilan.

Beliau berkata, modus operandi sindiket itu ialah mengiklankan tawaran pinjaman di Facebook dengan memperdaya mangsa yang mereka ialah peminjam wang berlesen Singapura.

Katanya, selepas maklumat peribadi berkaitan akaun bank dan alamat tempat tinggal diberikan, sindiket akan memasukkan wang ke akaun peminjam tanpa mendapat persetujuan peminjam, kemudian mereka akan memaksa peminjam membuat bayaran dengan kadar faedah tinggi.

Kamarul Zaman berkata, hasil siasatan mendapati kebanyakan mangsa adalah warga tempatan bekerja di Singapura dan apabila gagal membayar pinjaman, rumah keluarga di Malaysia menjadi mangsa simbah cat dan khianat.

Mengenai kes mengupah “samseng” untuk memalukan mangsa dan keluarga kerana gagal menuntut hutang di Taman Gunung Lambak, Kluang pada 23 Okt lalu, katanya tiga lelaki ditahan bagi membantu siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.