Polis rampas pistol, ganja RM217,000 di Padang Besar

Polis rampas pistol, ganja RM217,000 di Padang Besar

Rampasan dadah itu dibuat PGA Batalion 3 yang melakukan rondaan di kawasan kebun getah pada 26 Okt.

Ketua Polis Perlis Muhammad Abdul Halim menunjukkan ganja yang dirampas pada sidang media hari ini. (Gambar Bernama)
KANGAR:
Polis merampas 70kg dadah jenis ganja bernilai RM217,000 dalam tugasan rondaan Op Taring oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) di kawasan sempadan negara di Padang Besar pada 26 Okt lalu.

Ketua Polis Perlis, Muhammad Abdul Halim, berkata rampasan ganja itu dibuat PGA Batalion 3 yang melakukan rondaan di kawasan kebun getah berdekatan sebuah kampung di Padang Besar pada 12.15 tengah hari.

“Semasa PGA sedang membuat rondaan, telah mengesan seorang lelaki bermotosikal yang menghala masuk ke dalam negeri ini, dan kemudian dia meninggalkan motosikal itu dan melarikan diri. Pihak polis menghampiri dan menjalankan pemeriksaan di kawasan itu dan menjumpai satu bungkusan plastik hitam.

“Di dalam plastik hitam itu terdapat dua bungkusan guni putih dan hasil pemeriksaan lanjut mendapati (masing-masing) terdapat 32 dan 38 ketulan mampat dibaluti plastik lut sinar disyaki dadah jenis ganja (anggaran berat) 32kg dan 38kg ganja,” katanya pada sidang media di IPK Perlis.

Muhammad berkata, pemeriksaan lanjut menemui sepucuk pistol jenis Beretta dan sekotak peluru berisi 50 butir peluru bersaiz 9mm yang dipercayai cuba diseludup ke negara ini.

Beliau berkata susulan rampasan itu, siasatan polis telah membawa kepada tangkapan empat lelaki berumur lingkungan antara 30-an dan 40-an secara berasingan di kawasan sekitar Padang Besar itu dan semua mereka dipercayai saling mengenali antara satu sama lain.

“Semakan polis mendapati suspek pertama tiada rekod jenayah, manakala suspek kedua hingga keempat mempunyai beberapa rekod jenayah lampau melibatkan kes dadah dan jenayah, ujian saringan air kencing menunjukkan suspek kedua dan ketiga positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.

Muhammad berkata, bekalan ganja 70kg itu dianggarkan boleh digunakan kira-kira 700,000 pengguna jika ia melepasi pasaran.

“Polis percaya bekalan ganja ini untuk pasaran luar Perlis, dengan jumlah yang banyak sebegini tidak mungkin hanya untuk pasaran di negeri ini,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8 (a) Akta Senjata Api 1960.

Muhammad berkata, polis percaya ada lagi rangkaian bertindak sebagai sindiket pengedaran dadah itu dan pihaknya akan terus mengesan individu mungkin terlibat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.