
Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Ali, menjelaskan kelewatan itu berpunca daripada harga minyak sawit mentah (MSM) yang tinggi di pasaran, menyebabkan kementeriannya perlu membuat permohonan tambahan untuk membayar tuntutan berkenaan.
“Asasnya kenaikan harga MSM di luar jangka…kita akui ada kelewatan dalam pembayaran tapi sebenarnya kenaikan MSM yang keterlaluan itu menjadi punca utama,” katanya pada sesi penggulungan Belanjawan 2024 peringkat dasar bagi kementerian di Dewan Rakyat.
Armizan berkata, sebanyak RM500 juta peruntukan asal subsidi tahun ini dibelanjakan sepenuhnya setakat Februari lalu.
Susulan itu, KPDN membuat permohonan baharu dan menerima tambahan RM400 juta yang kini dalam proses bayaran balik kepada syarikat pembungkusan.
“Kita mengakui akan kerisauan pengusaha terlibat, insya-Allah dengan ruang fiskal yang mengizinkan kita akan menyelesaikan tuntutan ini segera.”
Beliau berkata, secara keseluruhan kerajaan memperuntukkan RM1.9 bilion bagi melaksanakan program Skim Penstabilan Harga Minyak Masak Bersubsidi (COSS) tahun ini.
Untuk rekod, kerajaan membelanjakan RM269 juta subsidi minyak masak peket pada 2019 diikuti RM528.2 juta (2020), RM2.19 bilion (2021), RM2.41 bilion (2022) dan RM1.9 bilion (2023).