Belanda setuju sokong Malaysia pada mesyuarat MSPO Disember

Belanda setuju sokong Malaysia pada mesyuarat MSPO Disember

Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof turut berharap EU bersetuju mengiktiraf MSPO sebagai proses audit EUDR pada mesyuarat itu.

Perdana Menteri Belanda Mark Rutte membuat lawatan kerja dua hari ke Malaysia berakhir hari ini. (Gambar Bernama)
BANGI:
Belanda bersetuju menyokong Malaysia pada peringkat Kesatuan Eropah (EU) pada mesyuarat kedua berhubung Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) yang akan diadakan Disember ini.

Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata, EUDR diperkenalkan oleh negara-negara Eropah mengenai isu penebangan hutan dan akan berkuat kuasa dalam tempoh 18 bulan setelah diluluskan oleh Parlimen Eropah.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri Belanda Mark Rutte sempena lawatan kerja dua hari Rutte ke Malaysia yang berakhir hari ini.

“Kita berbincang bagaimana Belanda boleh menyokong dalam konteks memberikan penjelasan dan penyelesaian terbaik dalam isu ini. Ini termasuk sekiranya mereka (EU) dapat mengiktiraf Pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO) yang telah kita bangunkan dan mewajibkannya ke seluruh sektor pengeluaran minyak sawit kita.

“Diharapkan agar EU juga bersetuju (dengan mengiktiraf MSPO sebagai proses audit EUDR pada mesyuarat itu) dan dapat membantu kita dalam industri minyak sawit,” kata Fadillah yang juga menteri perladangan dan komoditi.

Baru-baru ini, beliau berkata, pengiktirafan MSPO bertujuan memastikan aktiviti penanaman kelapa sawit di negara ini tidak menjejaskan alam sekitar dan dihasilkan berdasarkan amalan pertanian yang baik serta mampan.

“Komitmen kita untuk dunia adalah keluasan hutan kita mesti tidak kurang daripada 50%, jadi kita kena imbangi keperluan untuk penanaman hasilan (sawit).

“Pada masa yang sama, kita tidak mengorbankan alam sekitar kita. Ini komitmen kita untuk generasi masa depan,” katanya.

Fadillah berkata, Malaysia akan menjadi tuan rumah untuk mesyuarat kedua berhubung EUDR pada Disember ini.

Katanya, mesyuarat pertama yang diadakan di Jakarta, Indonesia pada 4 Ogos tahun lepas telah membuahkan beberapa hasil positif untuk Malaysia.

“Namun mesyuarat kedua ini kelak akan memuktamadkan sama ada MSPO akan diterima sebagai sebahagian daripada proses audit di bawah EUDR ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.