Agensi pelancongan akan dipanggil jika pelawat China tinggal lebih masa

Agensi pelancongan akan dipanggil jika pelawat China tinggal lebih masa

Agensi pelancongan yang mengurus pelawat dari China akan 'dicari' sekiranya mereka tidak keluar negara selepas 30 hari.

Tahun lalu, KDN memaklumkan lebih 1.2 juta warga China dikesan tidak keluar dari Malaysia, dalam tempoh di antara 2018 hingga 2021.
KUALA LUMPUR:
Kerajaan akan memanggil agensi pelancongan sekiranya pelawat dari China di bawah kendalian mereka tinggal lebih masa, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

Elemen kawalan ini susulan langkah memberikan visa ketibaan kepada pelancong China yang menaiki penerbangan terus dari negara mereka ke Kuala Lumpur.

“Pelancong diurus melalui agensi pelancongan yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan. Sekiranya selepas 30 hari tak keluar, kita akan cari agensi pelancongan,” katanya di Dewan Rakyat.

“Kalau kita tarik lesen dia, dia akan bimbang juga. Jadi elemen kawalan itu di situ, dengan itu memudahkan kita.”

Tambahnya, sistem biometrik di pintu masuk utama negara akan menyenarai hitam pelancong yang tinggal lebih masa.

“Dia nak datang kali kedua – notis penolakan masuk,” katanya, menjawab pertanyaan Shahidan Kassim (PN-Arau) berhubung tindakan ke atas pelawat yang tinggal lebih masa.

Dalam pada itu, Saifuddin melaporkan kepada Dewan Rakyat bahawa seramai 120,000 pelancong dari China masuk ke negara ini setiap bulan, ketika ini.

Tahun lalu, kementerian memaklumkan lebih 1.2 juta warga China dikesan tidak keluar dari Malaysia, dalam tempoh di antara 2018 hingga 2021.

Sementara itu, Saifuddin memaklumkan pihaknya akan membentangkan pindaan Perlembagaan berkenaan kewarganegaraan anak dilahirkan di luar negara hasil perkahwinan wanita warga tempatan dengan lelaki warga asing.

Jelasnya lagi, KDN akan mematuhi semua proses sebelum pindaan itu dibuat.

“Kita akan bentangkan kepada mesyuarat Jemaah Menteri dan seterusnya peguam negara akan melengkapkan draf dan bila dibentangkan di sini,” katanya.

Saifuddin turut mengingatkan pindaan Perlembagaan perlu mendapatkan sokongan 2/3 Ahli Parlimen bagi membolehkan ia dikuatkuasakan, justeru pihaknya mahu bertemu pembangkang bagi tujuan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.