
Pakar pengangkutan, Goh Bok Yen berkata antara faktor tren KTM Komuter kosong adalah stesen-stesen yang terletak di lokasi yang sudah tidak sesuai dan sukar diakses, banyak kekurangan pada reka bentuk stesen, dan laluan landasan yang mengelakkan kawasan penduduk padat.
“Laluan tidak mengikut trend pembangunan penggunaan tanah, jadi laluan menjadi seperti ‘laluan belakang’ dan tidak melalui kawasan utama.
“Jika tidak ada penyesuaian koridor pembangunan untuk diorientasikan ke laluan KTM, maka anda dapati sukar untuk meningkatkan jumlah penumpang,” katanya kepada FMT.
Jumlah penumpang KTM, yang pernah membawa 83,315 penumpang setiap hari pada 2016, merosot kepada hanya 16,164 pada 2021.
Goh berkata “semakan total pada ketercapaian stesen” adalah perlu, bersama penstrukturan lengkap reka bentuk semula stesen dan susun atur landasan sedia ada.
Beliau juga berkata, meningkatkan perhubungan ke stesen yang sukar di akses boleh meningkatkan jumlah penumpang.
“Anda perlukan kesalinghubungan yang baik dengan kawasan tumpuan. Anda perlu menghubungkannya sama ada menerusi perkhidmatan bas atau menambah baik hubungan jalan raya fizikal,” katanya.
Sementara itu, Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Kereta api Tanah Melayu, Faizal Shahibul Kiraya berkata meningkatkan kesalinghubungan menerusi perkhidmatan bas memudahkan penumpang menggunakan pengangkutan awam.
“Penumpang mahu sampai dengan selamat tanpa perlu memikirkan mengenai tempat letak kereta dan kesesakan jalan raya.
“Ketika ini ramai penumpang mempunyai masalah meletak kenderaan di stesen. Mereka cuba meminimumkan kos parkir kereta dan mengelak kesesakan jalan raya.
“Perkhidmatan bas boleh menarik lebih ramai penumpang,” katanya.