Iklan seks di laman web Australia, 10 wanita mengaku tak salah

Iklan seks di laman web Australia, 10 wanita mengaku tak salah

Tertuduh berusia 21 hingga 33 tahun dituduh secara bersama membuat iklan itu pada 20 Okt lalu.

Semua tertuduh dikenakan jaminan RM6,500 dengan pasport diserahkan kepada mahkamah. (Gambar Pexels)
PETALING JAYA:
Seramai 10 wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Balik Pulau atas pertuduhan mengiklankan khidmat pelacuran dalam talian menerusi laman sesawang berpangkalan di Australia.

Tertuduh, Soay Say Hean, Teh Hang Wei, Karen Tang Xin Ying, Lay Cheak Joe, Jack Oon Han Jie, Lee Suet Yee, Beh Shing Ping, Ang Hooi Qian, Lim Shin Ghee, dan Beh Shin Yuan membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan serentak di hadapan Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh berusia 21 hingga 33 tahun secara bersama di sebuah premis komersial di Bayan Baru mengiklankan khidmat pelacuran secara dalam talian di laman web berkenaan pada 5.30 petang 20 Okt lalu.

Secara munasabah laman sesawang itu boleh difahami sebagai laman web menawarkan khidmat seks bagi mana-mana orang yang memasuki platform dalam talian berkenaan, menurut Berita Harian.

Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 372(1)(e) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan sebatan selain boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lim Jin Hong, manakala semua tertuduh kecuali Karen Tang Xin Ying, diwakili peguam, C Pang.

Jin Hong menawarkan jaminan RM15,000 bagi setiap tertuduh serta memohon tiga syarat tambahan iaitu semua tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri setiap satu hari bulan di balai polis berdekatan hingga kes selesai.

Bagaimanapun, C Pang memohon kadar itu dikurangkan kepada RM5,000 kerana semua anak guamnya mempunyai tanggungan manakala K Selva yang mewakili Tang Xin Yin berkata, anak guamnya berusia 21 tahun baru sebulan bekerja di premis terbabit sebagai kerani dan menerima gaji kurang RM2,000.

Mahkamah membenarkan permohonan syarat tambahan oleh timbalan pendakwa raya dan menetapkan wang jaminan RM6,500 berserta seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

Mahkamah menetapkan 30 Nov sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.