SKMM sekat 6,997 laman sesawang lucah dalam 5 tahun

SKMM sekat 6,997 laman sesawang lucah dalam 5 tahun

Menteri komunikasi dan digital berkata kementeriannya tiada statistik remaja guna aplikasi seks songsang atau tidak bermoral dalam talian kerana ia bawah bidang kuasa polis.

SKMM akan melaksanakan sekatan ke atas laman sesawang berunsur lucah berdasarkan pemantauan dan aduan awam. (Gambar SKMM)
PETALING JAYA:
Sebanyak 6,997 laman sesawang berunsur lucah disekat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dari 2018 hingga 31 Ogos lalu, kata Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

“SKMM akan melaksanakan sekatan ke atas laman sesawang berunsur lucah berdasarkan pemantauan dan aduan diterima,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab pertanyaan Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) berhubung statistik remaja menggunakan aplikasi seks songsang dan sejauh mana kerjasama rentas kementerian bagi menangani isu itu.

Fahmi berkata, kementeriannya tiada statistik remaja menggunakan aplikasi seks songsang atau tidak bermoral dalam talian kerana perkara itu di bawah bidang kuasa polis.

Tetapi, katanya, SKMM sentiasa bersedia memberi bantuan teknikal berhubung siasatan, penyaluran maklumat, analisis forensik digital serta melaksanakan sekatan berdasarkan permohonan pihak berkuasa bagi menangani kes berunsur lucah dalam talian.

“Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) sentiasa bekerjasama dengan kementerian lain menerusi program advokasi dan kesedaran kepada masyarakat mengenai usaha perlindungan remaja terhadap isu seks bebas yang menggunakan aplikasi dalam talian.

“Antaranya menerusi kolaborasi dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Kementerian Kesihatan dalam membangunkan beberapa modul pendidikan dan latihan melibatkan topik perlindungan remaja dalam talian.”

Katanya, kerjasama itu turut diperluaskan kepada badan bukan kerajaan seperti Pertubuhan Pengakap Malaysia, institusi pengajian tinggi dan pihak industri.

Beliau berkata, KKD turut mendekati golongan pendidik dan pelajar di sekolah serta ibu bapa melalui inisiatif Klik Dengan Bijak (KDB) dan Sukarelawan ICT Malaysia (MIV – Malaysia ICT Volunteer) yang memberi latihan kemahiran kepada golongan pelindung remaja.

“Sejak dilancarkan pada 2016, MIV telah melatih 2,814 guru sukarelawan MIV di sekolah rendah dan menengah melibatkan 2,282 sekolah di seluruh negara.

“SKMM juga bekerjasama dengan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unicef) dalam menganjurkan seminar perlindungan kanak-kanak dan remaja dalam talian untuk ahli akademik, pengamal media dan pihak berkepentingan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.