Kerjasama dua hala bantu kurang kesesakan Tambak Johor, kata Anwar

Kerjasama dua hala bantu kurang kesesakan Tambak Johor, kata Anwar

Anwar Ibrahim dan Lee Hsien Loong turut menyambut baik kemajuan dicapai dalam projek Sistem Transit Rapid Johor Bahru-Singapura.

Anwar Ibrahim bersama rakan sejawatan dari Singapura, Lee Hsien Loong ketika menghadiri sesi Pemukiman Pemimpin Singapura-Malaysia ke-10 di republik itu. (Gambar Bernama)
SINGAPURA:
Kesesakan di Tambak Johor yang menghubungkan Johor Bahru dan Singapura berkurangan, hasil usaha bersama pelbagai kementerian di Malaysia, Jabatan Kastam dan pihak berkaitan di Singapura.

Untuk itu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menyatakan penghargaan atas sumbangan besar kementerian berkaitan dan Jabatan Kastam yang membantu mengurangkan kesesakan, yang menjadi masalah besar dalam kalangan pekerja Malaysia terpaksa bangun 4 pagi untuk menyeberang sempadan antarabangsa paling sibuk di dunia itu.

Lebih 350,000 orang menggunakan Tambak Johor setiap hari.

Anwar berkata demikian pada sidang media bersama rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsien Loong.

Dua perdana menteri itu bertemu di Singapura untuk sesi Pemukiman Pemimpin Singapura-Malaysia ke-10, julung kali diadakan sejak pandemik Covid-19.

“Singapura memerlukan Woodlands (Woodlands Check Point (WCP) yang kini di bawah bidang kuasa Malaysia.

“Saya memaklumkan kita (Malaysia) boleh memudahkan penjualannya (WCP) supaya Singapura mendapat kemudahan itu untuk melancarkan lagi aliran masuk pekerja Malaysia ke Singapura, dan kemasukan rakyat Singapura ke Johor, khasnya pada hujung minggu.”

Lee berkata, Singapura memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk menjadikan perjalanan rentas sempadan lebih lancar dan cekap sambil mengekalkan keselamatan sempadan.

“Kami juga memulakan pembangunan semula WCP untuk meningkatkan kapasitinya dan memenuhi pertumbuhan jangka panjang bagi perkhidmatan perjalanan rentas sempadan.

“Saya gembira Anwar menyambut baik dan menyokong usaha Singapura.”

Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas pemukiman itu, Kumpulan Kerja Hubungan Pengangkutan bekerjasama rapat untuk mengukuhkan infrastruktur dan ketersambungan rentas sempadan antara Singapura dan Johor.

Agensi pengangkutan dua negara turut mencapai kemajuan dalam mengukuhkan rangkaian pengangkutan dan memudahkan penumpang, dengan meningkatkan kekerapan perkhidmatan bas rentas sempadan dan memperkenalkan perkhidmatan feri baharu.

Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan Singapura (ICA) mengunjurkan jumlah trafik di WCP meningkat hampir 40% menjelang 2050. Ini bermakna purata harian kira-kira 400,000 pengembara berbanding tahap sebelum pandemik kira-kira 300,000 orang pada 2019.

Dalam perkembangan berkaitan, Anwar dan Lee turut menyambut baik kemajuan dicapai dalam projek Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura.

RTS akan menghubungkan Bukit Chagar di Johor Bahru dan Woodlands North dengan kapasiti puncak 10,000 penumpang sejam, sekali gus membantu mengurangkan kesesakan di sepanjang Tambak dan mengukuhkan lagi hubungan antara Malaysia dan Singapura.

Anwar dan Lee menyuarakan keyakinan mereka terhadap permulaan perkhidmatan RTS menjelang akhir 2026. Dua pemimpin itu turut mengarahkan pegawai mereka terus bekerjasama rapat bagi menjayakan projek RTS.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.