
Mohamad berkata, penamatan subsidi ayam mengambil kira situasi dan trend semasa bekalan serta harga ladang dan kos pengeluaran ayam sudah mulai stabil.
“Dalam hal ini, kerajaan akan memastikan harga jualan bagi ayam yang akan diapungkan terus berada pada kadar yang munasabah,” katanya pada sidang media di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).
Mohamad turut memberi jaminan bahawa pihaknya akan membuat pemantauan supaya harga ayam tidak naik secara mendadak.
Dalam masa yang sama, Jualan Agro Madani dan Jualan Rahmah akan diteruskan bagi meluaskan akses kepada bekalan ayam pada harga yang berpatutan.
Mohamad terut mengingatkan pengguna agar tidak membeli secara panik supaya bekalan ayam di pasaran sentiasa cukup, mengelakkan berlakunya kenaikan harga.
Selain itu, beliau memaklumkan subsidi serta kawalan harga bagi telur ayam gred A,B dan C akan diteruskan menggunakan mekanisme sedia ada.
Ditanya mengapa subsidi dan kawalan harga bagi telur diteruskan, Mohamad memaklumkan, sekiranya ia ditamatkan, harga bagi bahan itu dijangka akan meningkat RM0.10 bagi sebiji telur.
“Bila (pengguna) beli telur selalunya tak beli sebiji. Selalunya (beli) sepapan dan akan lebih kurang (kenaikan) RM3 buat masa ini.
“Kita lihat pada keadaan, kerajaan akan buat pengumuman dari semasa ke semasa,” katanya.
Pada pembentangan Belanjawan 2024, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan sedang mempertimbangkan untuk mengapungkan harga telur dan ayam dalam masa terdekat, selepas mendapati trend semasa menunjukkan bekalan kedua-dua sumber makanan itu kini stabil.
Beliau berkata, pelaksanaan tersebut membolehkan pasaran tempatan dapat berfungsi semula dengan bebas dalam memastikan keterjaminan bekalan ayam dan telur di pasaran.
Anwar berkata, langkah juga dilakukan bagi memastikan manfaat subsidi yang diberikan sebelum ini hanya dinikmati rakyat yang berhak, bukannya warga asing dan golongan kaya memandangkan sejak 2022, kerajaan telah mengeluarkan subsidi keseluruhan sebanyak RM3.7 bilion bagi menampung kos ayam dan telur.