Industri getah perlu nafas baharu, kerajaan diminta masuk campur

Industri getah perlu nafas baharu, kerajaan diminta masuk campur

Bekas presiden Margma berkata, kerajaan perlu memperuntukkan lebih banyak tanah pertanian untuk penanaman pokok getah.

Malaysia menjadi pengeluar sarung tangan getah utama disebabkan akses mudahnya kepada susu getah asli dan kemudahan pemprosesannya, menurut Denis Low. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan harus melaksanakan langkah strategik bertujuan memberikan nafas baharu kepada industri getah negara, kata bekas presiden Pertubuhan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (Margma).

Denis Low berkata, kerajaan persekutuan dan negeri perlu memperuntukkan tanah pertanian tambahan untuk penanaman pokok getah.

“Pekebun kecil harus digalakkan dan diberi insentif untuk menanam semula pokok getah, berbanding membiarkan pokok terus menua dan kurang menghasilkan susu getah,” katanya.

Low berkata, Malaysia menjadi pengeluar sarung tangan getah utama disebabkan akses mudahnya kepada susu getah asli dan kemudahan pemprosesannya, tetapi kelebihan ini merosot dari semasa ke semasa.

“Hari ini, Malaysia menyumbang hanya 15% daripada bekalan, dengan bakinya disumbangkan oleh Thailand dan Vietnam,” tambahnya.

Menurut Low, kira-kira 65% sarung tangan getah di pasaran kini dihasilkan menggunakan getah sintetik, dengan baki 35% masih diperbuat daripada getah asli.

“Bagaimanapun, trend ini mungkin berubah apabila lebih banyak sarung tangan getah asli diperlukan untuk meluaskan kepentingan ESG,” kata Low.

ESG merujuk set kriteria alam sekitar, sosial dan tadbir urus yang digunakan oleh pelabur, perniagaan dan organisasi untuk menilai kemampanan dan kesan sesuatu pelaburan atau perniagaan dari segi etika.

Menurut Low, kekurangan getah yang teruk di negara ini didorong oleh tiga faktor utama, iaitu penukaran penanaman getah kepada tanaman lain, populasi pekebun kecil semakin tua yang menyediakan 70% daripada bekalan getah, dan harga getah yang rendah secara konsisten, mengakibatkan pendapatan lebih rendah bagi pengeluar getah.

Ahli ekonomi Barjoyai Bardai daripada Universiti Tun Abdul Razak senada dengan Low, menegaskan bahawa sebahagian besar ladang getah di Malaysia telah diubah menjadi ladang kelapa sawit, yang lebih menguntungkan.

“Malaysia kini hanya memiliki 11,000 hektar ladang pokok getah, berbanding sejuta hektar yang diperuntukkan untuk penanaman kelapa sawit.

“Terdapat potensi untuk Malaysia menghidupkan semula sektor perladangan getah, tetapi ini memerlukan penggunaan teknologi inovatif,” katanya.

Membandingkan Malaysia dengan Thailand, Barjoyai berkata, Malaysia sebelum ini cuba mewujudkan ladang ubi kayu untuk menghasilkan pinggan mangkuk boleh dimakan.

“Bagaimanapun, percubaan itu gagal kerana kajian kebolehlaksanaan komprehensif mendedahkan Malaysia tidak berupaya bersaing dengan Thailand disebabkan teknologi pertaniannya yang unggul, termasuk baja, ketersediaan tanah dan daya saing harga,” katanya.

Barjoyai berkata, Malaysia mempunyai tanah yang mencukupi dan boleh mempertimbangkan untuk mempelbagaikan landskap pertanian dengan memperkenalkan semula penanaman getah seiring ladang kelapa sawit sedia ada.

“Kebergantungan besar kita pada kelapa sawit menyebabkan kita menjadi rentan apabila pasarannya merosot,” katanya.

“Mengimbangi ini dengan industri perladangan getah boleh mewujudkan sandaran penting semasa kemelesetan seperti itu.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.