Ancaman lanun di pantai timur Sabah ‘hampir tiada’, kata Tok Mat

Ancaman lanun di pantai timur Sabah ‘hampir tiada’, kata Tok Mat

Menteri Pertahanan Mohamad Hasan berkata rakyat di kawasan itu kini gembira boleh keluar ke laut tanpa ada ancaman.

Menteri Pertahanan Mohamad Hasan berkata kawasan sempadan negara khususnya di Laut Sulu sentiasa dipantau rapi bersama oleh pasukan keselamatan Malaysia dan Filipina. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Pencerobohan lanun yang sering mengancam kegiatan penduduk di perairan pantai timur Sabah kini “hampir tiada”, kata Menteri Pertahanan Mohamad Hasan.

Beliau berkata, ia hasil pemantauan rapi di sempadan bermula dari Simpang Mengayau hingga Semporna oleh pasukan keselamatan yang digilirkan setiap tiga bulan.

Katanya, pemantauan dibuat Rejimen 1, Rejimen Sempadan, Batalion 10 Rejimen Renjer Diraja dan 10 Briged Para, semuanya antara pasukan terbaik dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menurutnya, Kementerian Pertahanan sedang dalam perolehan menambah 16 hingga 20 unit bot pemintas laju, yang boleh menandingi bot laju digunakan lanun atau penyeludup.

“Kegiatan lanun hampir dah tak ada kerana wujudnya dasar kita mengawal sempadan begitu rapi.

“Setiap masa ada enam zon berbeza yang dijaga oleh pelbagai tumbukan (pasukan), termasuk tentera udara, tentera laut, selain rejimen askar Melayu,” katanya menjawab soalan tambahan Andi Muhammad Suryady Bandy (BN-Kalabakan).

Andi meminta Kementerian Pertahanan menjelaskan situasi terkini perairan pantai timur Sabah sepanjang 1,733km meliputi 361 pulau daripada ancaman lanun.

Mohamad berkata, kawasan sempadan negara khususnya di Laut Sulu juga sentiasa dipantau rapi secara bersama oleh pasukan keselamatan Malaysia dan Filipina.

“Daripada maklum balas, aktiviti culik atau ambil wang telah amat berkurangan. Semasa saya berada di Pulau Berhala (Sandakan), penduduk di sana gembira mereka boleh keluar ke laut sekarang tanpa ada ancaman.

“Kalau tak dulu mereka ini diculik dan terpaksa bayar pampasan dan peralatan perikanan mereka dirampas. Jadi kawasan pantai timur Sabah akan berada dalam kawasan amat selamat dan kehidupan seharian dapat dijalankan seperti biasa,” katanya.

Perolehan radar

Mohamad berkata, Kementerian Pertahanan juga sedang membuat perolehan enam radar jarak jauh dengan peruntukan RM57 juta.

Enam radar itu bagi menggantikan lima radar di pesisir pantai timur Sabah yang mengalami kerosakan dan tidak lagi boleh dibaiki.

“Semua enam radar jarak jauh ini akan diperoleh dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13),” katanya.

Sementara itu, beliau berkata kementerian juga sedang dalam perolehan mendapatkan radar jarak jauh di Pulau Layang-Layang, memandangkan radar di Labuan tidak mampu mengawasi jarak lebih 10,000km.

“Jadi kita perlukan satu lagi radar di Pulau Layang-Layang untuk melihat lebih jauh di depan supaya dapat menjangkau di luar kawasan lebih sensitif.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.