
Pemilik restoran, Hazwandi Hassan, 38, berkata jumlah pelanggan menurun kira-kira 20% sejak Ogos.
“Rakyat masih perlu makan, namun mereka tidak lagi makan seperti dulu. Contohnya, jika mereka memesan lima hidangan, kini hanya tiga sahaja,” katanya kepada FMT sambil menambah dia terpaksa melakukan pelarasan dalam tenaga kerjanya susulan permintaan rendah.
“Kami tidak mahu memberhentikan pekerja, jadi kami memutuskan membuat penggiliran syif bagi mengurangkan kos tenaga kerja.”

Seorang lagi pemilik restoran di Subang Jaya, Alia Zaisun, 26, berkata jumlah pelanggan mula berkurang sejak Julai.
Katanya, penurunan mungkin disebabkan trend orang ramai makan di rumah atau membawa bekal ke tempat kerja.
“Bila ini berlaku, kami beri tumpuan melonjakkan pemasaran kami.”
Intan, 60, yang memiliki kafe di Kuala Lumpur sejak 17 tahun lalu, berkata dia mendapati berlaku penurunan pelanggan terutama hujung minggu, sejak Ogos.
Dia yakin situasi itu berlaku susulan peningkatan kos bahan mentah yang memaksa ramai pengendali makanan menaikkan harga.
“Kini harga gula sudah RM5 sekilogram. Dulu RM2.50, jika kami tidak naikkan harga bagaimana kami mahu bertahan?” katanya.
Bagaimanapun, katanya dia memilih mengurangkan saiz hidangan berbanding menaikkan harga.
Intan berkata, dia masih bergantung kepada pelanggan tetap memandangkan telah lama beroperasi, namun dia bimbang sama ada perniagaan baharu mampu bertahan dalam situasi semasa.