
Tidak sampai seminggu selepas kisah keluarga yang dibelenggu kemiskinan itu ditampilkan, sumbangan bernilai RM430,000 telah berjaya dikutip.
“Cukuplah bagi keluarga tersebut untuk mulakan hidup baharu,” kata Pengerusi Persatuan Kebajikan Suriana James Nayagam.
FMT bekerjasama dengan NGO tersebut, yang akan menguruskan pemberian bantuan kepada keluarga itu.
James berkata, sumbangan itu akan membolehkan Muggnisuari dan anak-anaknya, berusia antara empat hingga sembilan tahun, berpindah ke rumah yang lebih elok. Keluarga itu kini hidup tanpa bekalan air dan elektrik yang sempurna.
“Mereka akan ada tempat tinggal sendiri, anak-anaknya boleh pergi ke sekolah dan cukup bekalan makanan untuk setahun.
“Kami sedang cari rumah tiga bilik yang lengkap dengan perkakas untuk mereka,” katanya.
Urus sumbangan
James berkata, respons terhadap situasi dihadapi Muggnisuari sekeluarga sangat memberangsangkan.
“Selain wang, kira-kira 200 orang minta jumpa keluarga itu untuk serah sendiri sumbangan,” katanya.
Katanya, kunjungan perlu dijadualkan agar tidak membebankan keluarga itu.
“Kami juga khuatir tentang pihak yang mungkin mahu ambil kesempatan terhadap keluarga itu. Itulah sebabnya diharapkan sesiapa yang mahu bantu Muggnisuari hubungi Persatuan Kebajikan Suriana.
“Ini terutamanya penting dengan barangan makanan kerana keluarga itu mungkin tidak dapat simpan semuanya,” kata James.
Tambahnya, lebih penting bagi pihaknya untuk mencari tempat tinggal buat Muggnisuari sekeluarga secepat mungkin sebelum menerima lagi sumbangan, terutamanya barangan mudah rosak.
James berkata, turut timbul kebimbangan menyerahkan semua sumbangan sekaligus, justeru pihaknya akan mengeluarkan dana secara berkala untuk tujuan khusus, seperti perbelanjaan hidup.
Akauntabiliti
James berkata, Persatuan Kebajikan Suriana akan menguruskan dana yang disumbangkan mengikut prosesnya yang biasa.
“Akaun itu akan diaudit oleh juruaudit luar,” katanya sambil menambah, pengurusan dana akan dipantau oleh peguam dilantik NGO itu.
“Rekod bertulis penyumbang dan jumlah sumbangan disimpan, begitu juga dengan rekod perbelanjaan.”
Katanya, Persatuan Kebajikan Suriana mempunyai prosedur kelulusan yang ketat untuk sebarang perbelanjaan, yang dipantau oleh sebuah jawatankuasa.