Tahanan meninggal dunia di lokap IPD Sabak Bernam

Tahanan meninggal dunia di lokap IPD Sabak Bernam

Lelaki ditahan di bawah Akta Dadah Berbahaya disahkan meninggal dunia selepas ditemukan dalam keadaan meniarap.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Azri Ahmad, berkata bedah siasat mendapati tiada unsur jenayah berlaku kepada tahanan berusia 49 tahun itu. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Seorang tahanan di lokap Balai Polis Sungai Besar, IPD Sabak Bernam meninggal dunia semalam selepas sehari ditangkap, kata Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Azri Ahmad.

Beliau berkata, orang kena tangkap (OKT) berusia 49 tahun itu ditemukan dalam keadaan meniarap dan tidak sedarkan diri pada 27 Okt, 3.30 pagi selepas ditahan pada 26 Okt di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1953.

“Pihak hospital segera dihubungi untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Pada jam lebih kurang 4.40 pagi, penolong pegawai perubatan telah hadir dan membuat pemeriksaan ke atas OKT serta mengesahkan kematian,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, bedah siasat telah dijalankan di Hospital Sungai Buloh mendapati tiada sebarang kecederaan berunsurkan jenayah dikesan.

“Punca kematian masih ‘pending laboratory investigation’ (menunggu siasatan makmal),” katanya.

Azri berkata, Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT) JIPS Bukit Aman akan meneruskan siasatan dari pelbagai sudut sebelum menyerahkan hasil siasatan kepada koroner.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.